Pemandangan Wang Kelian. foto Perlis Nature and Wildlife

KUALA LUMPUR – Peningkatan aktiviti pelancongan di daerah Wang Kelian di Perlis mampu melonjakkan produktiviti penduduk tempatan dan menambah baik tahap sosio-ekonomi masyarakat setempat.

Lokasinya yang terletak di kaki gunung Banjaran Nakawan dan sebahagian daripada Taman Negeri Perlis serta dipenuhi dengan keunikan dan kepelbagaian alam semulajadi, Wang Kelian mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan mampan berasaskan komuniti dan alam semulajadi dengan kelebihan sumber alam, budaya dan sejarah.

Pengerusi Produktiviti Nexus Pelancongan (TPN), Rohizam Md Yusof berkata, lokasi ini mempunyai pelbagai jenis tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma yang sukar ditemui di tempat lain. Wang Kelian terletak di sempadan Thailand dan berpotensi menjadi bandar pelancongan sempadan,” tambah beliau.

Rohizam berkata, fokus TPN untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti industri pelancongan di Wang Kelian tercetus daripada dapatan kajian Bank Dunia mengenai potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semulajadi yang kini merupakan trend industri pelancongan global.

“Bank Dunia menganggarkan nilai industri pelancongan berasaskan alam semulajadi atau ‘nature-based tourism’ (NBT) di Malaysia mencapai AS$4.8 bilion pada tahun 2019.

“Pada tahun 2027, NBT di Malaysia boleh berkembang sehingga AS$14.4 bilion. Pasaran NBT di Malaysia adalah besar dengan permintaan sebanyak 43.8 juta pelancong berasaskan alam semulajadi. Menurut kajian Bank Dunia lagi, 43 peratus daripada jumlah ini telah pun membuat persediaan atau tempahan untuk ke Malaysia”, tambah beliau.

Menurut Rohizam, TPN dengan kerjasama organisasi kerajaan dan swasta sedang mengkaji potensi Wang Kelian sebagai destinasi perintis NBT di Malaysia.

Melalui usaha ini, TPN juga yakin mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti industri pelancongan di Wang Kelian dan Negeri Perlis.

“Kesan limpahan daripada aktiviti pelancongan ini akan memberi kesan yang positif kepada komuniti setempat dan peniaga tempatan serta membuka peluang pekerjaan baharu”.

“Namun aktiviti pelancongan perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli. Dalam satu kajian oleh Booking.com, 72 peratus daripada responden percaya bahawa orang ramai cenderung memilih pelancongan beasaskan kemampanan dan 53 peratus pengembara memilih penginapan pelancongan yang mesra alam,” tambah beliau.

Rohizam menjelaskan, Pelancong Bernilai Tinggi atau ‘High-Value Travellers’ (HVTs) adalah 41.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran NBT di Malaysia dan ini adalah segmen pasaran yang perlu diberi perhatian oleh pemain industri pelancongan negara. – MalaysiaGazette