agama Madani
Konsep Malaysia Madani yang berteraskan perpaduan lebih dekat dengan hati rakyat berbilang agama dan kaum di Malaysia. - Gambar hiasan

SETIAP kali tiba musim pilihan raya, pasti ada parti politik yang mendabik dada mendakwa kononnya mereka ‘lebih Islam’ dan ‘lebih Melayu’ berbanding lawan mereka.

Pelbagai ‘fatwa’ dan ‘dalil’ dikeluarkan bagi menyokong dakwaan mereka dalam usaha memancing sokongan pengundi Melayu dan Islam.

Sikap tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan timbul penggunaan istilah seperti ‘musuh Allah’ dan ‘kafir’ terhadap pihak lawan yang seagama dan sebangsa.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tidak lupa dengan insiden berdarah tragedi 13 Mei 1969 serta rusuhan Memali pada 1985 dan tidak mahu sejarah hitam itu berulang lagi.

Malangnya, terdapat parti-parti politik seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang seolah-olah tidak serik apabila terus memainkan sentimen agama dan perkauman menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung sebulan lagi.

Mungkin mereka ingin meyakinkan rakyat terutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu bahawa Pas dan Bersatu adalah pilihan terbaik untuk memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

Namun, agenda politik yang berteraskan kaum dan agama semakin sukar mendapat tempat di sebuah negara majmuk seperti Malaysia di mana generasi mudanya lebih toleran dan saling meraikan perbezaan secara membina.

UMNO yang dahulunya dikenali sebagai sebuah parti ultra-Melayu amat memahami hakikat tersebut lantas menyebabkan ia melakukan penyesuaian demi kelangsungan politiknya termasuk bersahabat dengan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Begitu juga DAP yang dikatakan bersikap lebih lunak dan kurang cauvinis selepas berganding bahu dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Berbeza pula dengan Pas dan Bersatu yang masih kekal di takuk lama tanpa menyedari bahawa sentimen agama dan perkauman yang diapi-apikan semasa berkempen boleh menjejaskan usaha memajukan negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa ketaksuban terhadap kaum dan agama boleh memecahbelahkan rakyat sekali gus mencetuskan ketidakstabilan dalam sesebuah negara.

Dunia telah melihat konflik yang pernah berlaku antaranya di Bosnia, Myanmar dan Sri Lanka yang berpunca daripada sikap kumpulan etnik atau penganut agama yang merasakan mereka lebih hebat berbanding agama atau kaum yang lain.

Krisis yang membawa kepada perang saudara dan konflik bersenjata telah merencatkan pembangunan di negara-negara tersebut kerana tiada siapa yang mahu melabur di negara yang tidak aman.

Para pelabur asing juga mempunyai persepsi yang sama terhadap Malaysia sekiranya pihak pembangkang berterusan menunggang sentimen agama dan perkauman semasa kempen PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Maka, tak perlulah Pas dan Bersatu terus memomokkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini kononnya nasib mereka tidak terbela sekiranya Kerajaan Perpaduan kekal berkuasa.

Lebih baik mereka berkempen secara sihat dengan membentangkan tawaran-tawaran yang difikirkan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada masa yang sama, elok juga kalau Pas, Bersatu dan Gerakan meminta maaf kepada rakyat atas kegagalan mereka menguruskan negara dengan cekap sewaktu era kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.

Tindakan itu jauh lebih terpuji daripada menghentam parti lawan secara semberono dengan harapan rakyatyang dikaburi dengan api kemarahan lupa terhadap kelemahan PN. – MalaysiaGazette