Islam terancam badal haji pelik seks songsang
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Individu yang menyediakan perkhidmatan badal haji dengan pelbagai tawaran pelik perlu disiasat demi menjaga kepentingan umat Islam di negara ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan juga perlu memantau syarikat yang menawarkan perkhidmatan badal haji terutamanya dari segi ketelusan dengan waris penama yang berurusan dengan mereka.

Beliau menyifatkan ia adalah sangat pelik apabila terdapat pihak menawarkan upah badal haji dengan kos yang rendah serta dijanjikan pula pelbagai hadiah tambahan seperti dam, korban kambing, sejadah, kurma dan sebagainya.

“Ia menimbulkan keraguan dari sudut kemampuan pelaksanaan dan juga jelas menjadi satu perniagaan semata-mata.

“Ahli keluarga juga tidak boleh melihat dari sudut siapa yang menawarkan upah yang murah kerana upah sepatutnya sesuai dengan kos yang diperlukan untuk melaksanakan ibadah tersebut.

“Di sinilah ruang untuk ‘peniaga ibadah’ mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Artikel berkaitan: Dakwaan tipu badal haji cetus kebimbangan umat Islam Malaysia

Mohd Khairuddin mengulas mengenai rakaman video tular dalam media sosial sejak semalam mengenai kemungkinan berlaku penipuan dalam melakukan badal haji untuk individu-individu yang sakit atau telah meninggal dunia.

Dalam salah satu video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Mahdi Azman, kelihatan helaian-helaian kertas memaparkan tulisan ‘badal haji’ serta nama individu yang diwakilkan dan gambar Jalur Gemilang serta bendera Arab Saudi diletakkan di atas tanah di Arafah.

Selain itu, dapat dilihat ada jemaah yang mengambil lebih daripada sehelai kertas sekali gus menimbulkan keraguan kerana seorang jemaah hanya boleh menunaikan badal haji untuk seorang penama sahaja.

Beliau yang juga Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri memberitahu, badal haji adalah satu ibadah dan bukannya perniagaan.

Mohd Khairuddin menambah, badal haji sepatutnya menjadi amanah terlebih dahulu sebelum ia dilakukan dengan tujuan mendapat keuntungan dunia.

“Oleh itu perlu dipastikan badal haji dilakukan oleh seorang yang benar-benar jujur dan ikhlas,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, para ulama menegaskan sesiapa yang mengambil upah melakukan ibadah haji bagi pihak orang lain dengan niat mendapat harta dan upah itu semata-mata maka dia tidak beroleh pahala kerana setiap amal itu adalah berdasarkan niat sebagaimana disebut dalam hadis sahih.

“Tentulah ahli keluarga tidak mahu satu ibadah haji itu dilaksanakan oleh orang yang mahu kepentingan dunia sahaja meskipun gugur kewajipan haji bagi pihak orang yang diniatkan untuknya haji,” katanya. – MalaysiaGazette