Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) boleh dipertimbangkan selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencapai kapasiti maksimum pada tahun 2042.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, pihaknya bersama konsultan Kajian National Airports Strategic Plan (NASP) telah meneliti Pelan Induk Utama Pembangunan Kedah Aerotropolis.

Dapatan antara lain menggambarkan kebergantungan KXP terhadap perkhidmatan penerbangan penuh kargo semata-mata tidak akan memberikan lonjakan yang besar kepada KXP untuk menjadi lapangan terbang kargo berdaya maju.

Sebaliknya KXP perlu bergantung kepada perkhidmatan penerbangan penumpang untuk mengangkut kargo.

“Dalam hal ini, KXP merupakan sebuah lapangan terbang yang baharu dan bukan merupakan sebuah lapangan terbang sedia ada yang mempunyai infrastruktur serta jaringan kesalinghubungan yang telah tersedia dan meluas.

“Justeru itu, kemampuan KXP sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa kargo berasaskan kepada unjuran kargo yang disediakan oleh KXP Airportcity boleh dipertikaikan dan adalah kurang tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah MOT, sebarang pertindihan penawaran penumpang antara dua lapangan terbang berdekatan tanpa menjejaskan pasaran satu sama lain boleh dipertimbangkan melalui prinsip lapangan terbang utama telah mencapai kapasiti maksimum pengendalian 20 juta penumpang setahun (mppa).

Prinsip tersebut terdapat dalam Dokumen IATA Airport Development Reference Manual (ADRM) Edisi ke-10 di bawah Section 3.2.14.3.1 dan Pelan Induk KLIA 1992 yang dijalankan Konsortium Anglo-Jepun.

“Dalam hubungan ini, LTAPP pada masa ini masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk mengendalikan sebarang peningkatan dari segi pengendalian penumpang sehingga 20 mppa sehingga tahun 2042.

“Sehubungan dengan dapatan-dapatan konsultan NASP sepertimana yang dinyatakan di atas, MOT berpandangan bahawa buat masa ini tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dibangunkan di bawah projek Kedah Aerotropolis mengambil kira fasiliti sedia ada di LTAPP masih mampu untuk
mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.

“Dalam hubungan ini, lapangan terbang baharu iaitu KXP hanya boleh dipertimbangkan untuk dibina selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 mppa yang diunjurkan pada tahun 2042,” katanya.

Tambah MOT, setakat ini tiada sebarang cadangan penyertaan swasta yang mampu membiyai kos projek KXP.

Sementara itu, kenyataan yang sama berkata, Kerajaan Negeri Kedah wajar menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) atau LTAPP sebagai fasiliti menyokong pelaksanaan Aerotropolis MRO Centre of Excellence (KAAMROCE) dan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing (SLAM).

MOT mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai KPX semalam.

Anwar menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan KXP.

Katanya, cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian yang teliti sebelum boleh dilaksanakan.

Sebelum ini Kedah dilaporkan berhasrat untuk membangunkan ‘Kedah Aerotropolis’ yang meliputi pembinaan lapangan terbang, KAAMROCE dan SLAM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast