Falcao. Foto Football Espana.

KUALA LUMPUR – Impian kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mendapatkan khidmat penyerang berkelas dunia, Radamel Falcao beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk baki musim ini tidak kesampaian.

Ia kerana bekas penyerang Manchester United dan Chelsea itu melanjutkan kontrak bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano untuk tempoh semusim lagi.

Perkembangan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup sebelum ini bahawa pemain Colombia itu akan membuat penampilan bersama Harimau Selatan.

Sebelum ini, media daripada Sepanyol melaporkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berusaha untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama Vallecano sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu.

Falcao dianggap salah seorang penyerang berkelas dunia selepas mewakili beberapa kelab utama seperti River Plate, Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, United, Chelsea dan Galatasaray.

Malah Harimau Selatan kini berada pada landasan terbaik untuk melengkapkan kejuaraan sedekad yang dipertahankan mereka sejak 2014. – MalaysiaGazette