Plastik nipis tidak lagi disediakan di pasar raya New Zealand.

AUCKLAND – New Zealand telah menjadi negara pertama di dunia yang memperluaskan larangan ke atas beg plastik di pasar raya dengan memansuhkan penggunaan plastik nipis ang biasanya digunakan untuk menyimpan buah-buahan atau sayur-sayuran.

Langkah itu, yang berkuat kuasa pada Sabtu lalu, adalah sebahagian daripada kempen kerajaan yang lebih meluas terhadap plastik sekali guna.

Kebanyakan pembeli sudah membawa beg mereka sendiri ke kedai selepas penggunaan beg plastik dimansuhkan pada tahun 2019.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, banyak negara telah mengenakan bayaran atau larangan ke atas beg plastik.

“New Zealand menghasilkan terlalu banyak sisa, terlalu banyak sisa plastik,” kata Menteri Alam Sekitar, Rachel Brooking.

Menurutnya, lebih daripada satu bilion beg plastik telah disimpan sejak larangan beg tebal berkuat kuasa lima tahun lalu.

Langkah baharu itu dijangka menghalang penggunaan 150 juta beg plastik setahun.

Para pengkritik telah menimbulkan kebimbangan bahawa pembeli mungkin hanya meletakkan barangan runcit dalam beg kertas pakai buang, yang masih terdapat di pasar raya.

“Ia masih berbaloi untuk melakukan ini, tetapi kami benar-benar mahu mengurangkan pembungkusan sekali pakai. Jadi kami mahu orang ramai membawa beg mereka sendiri, dan pasar raya menjual beg boleh guna semula,” tambahnya.

Rangkaian pasar raya Countdown, yang mengendalikan lebih daripada 185 kedai di seluruh negara, telah mula menjual beg mesh poliester boleh guna semula.

Syarikat berharap ini akan menggalakkan pembeli menggunakan beg boleh guna semula untuk buah-buahan dan sayur-sayuran. – Agensi