Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memberi alasan beliau hanya baru tujuh bulan mentadbir kerajaan dan tempoh singkat itu belum mampu membuktikan kejayaan besarnya sebagai perdana menteri kepada rakyat.

Sebaliknya, perdana menteri itu sudah memiliki pelan induk atau kerangka pembangunan negara meliputi bidang ekonomi, pendidikan dan sosial untuk perancangan jangka panjang, kata ahli politik veteran, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Bagaimanapun kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anwar ketika ini menutup kelemahannya mentadbir negara dengan mencari kesalahan kes rasuah pihak pembangkang dan menggunakan bakat berpidato yang dimilikinya untuk memainkan isu tersebut.

“Sekurang-kurang beliau ada kerangka atau blue print dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. Tidak ada dan tiada satu pun cadangan blue print atau wawasan untuk membawa Malaysia ke mana hala tujunya.

“Jadi untuk menutup ini semua, beliau mencari kes-kes yang mudah untuk berpidato seperti kes rasuah orang lain. Tapi beliau sendiri dipenuhi isu itu kerana Zahid (timbalan perdana menteri) ada di belakangnya dan beliau sebenarnya tidak terbawa isu membanteras rasuah.

“Beliau sendiri boleh percepat atau tunggu keputusan kes Zahid dan apabila sudah bersih baru lantik Zahid,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Baru-baru ini, Anwar membidas pembangkang yang mendakwa usahanya membanteras rasuah tidak selari dengan tindakan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebagai timbalannya.

Ini kerana Presiden UMNO itu berhadapan dengan kes melibatkan rasuah di mahkamah.

Anwar menjelaskan, beliau tidak pernah campur tangan dengan mengganggu perjalanan kes perbicaraan yang dihadapi Ahmad Zahid sepanjang menjadi perdana menteri sejak tujuh bulan lalu.

Malah beliau menyerahkan kes itu kepada mahkamah kerana kejayaan kerajaan yang lebih besar apabila telus dalam pemberian kontrak yang tidak melibatkan mana-mana kroni dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Anwar juga pelik dengan tindakan pembangkang yang mempersoalkan beliau gagal menjadi perdana menteri dalam tempoh tujuh bulan ini.

Ujar beliau, dalam tempoh singkat itu adalah mustahil untuk seorang perdana menteri membuktikan sesuatu sedangkan beliau mengambil alih kerajaan yang mempunyai hutang negara mencecah RM1.2 trilion.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka turut mendakwa, Anwar tidak memiliki ilmu yang tinggi dan tiada kepakaran untuk mentadbir kerajaan.

Kata beliau, kedudukan Anwar sebagai perdana menteri juga dalam bahaya jika Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi lima daripada enam yang dipertandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan bulan depan.

“Saya ramalkan jika PN lepas PRN nanti, suasana akan tegang kerana kerajaan negeri tidak dapat terima Kerajaan Persekutuan.

“Mesti akan timbul pelbagai isu dan mesti akan bubar Parlimen apabila Kerajaan Persekutuan tidak boleh berfungsi lagi.

“Apabila sudah tidak boleh mentadbir sudah tentulah Yang di-Pertuan Agong akan panggil perdana menteri sama ada kita kudeta oleh tentera atau perdana menteri dengan permintaan Majlis Raja-Raja bubarkan Parlimen. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bakat berpidato sahaja tidak akan membawa rakyat kemana2! Boleh la syok sendiri sekejap bila dengar ceramah berapi2, penuh emosi, bersorak ramai2.

    Hakikatnya rakyar terus dihimpit dengan kesusahan, kenaikan kos sara hidup yang diluar jangkaan. Terbaru kenaikan tafif elektrik membuatkan rakyat menjadi lebih kepanasan.

Comments are closed.