Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misman

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang tawaran perkhidmatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan sebarang bayaran untuk sebarang urusan di jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Zamri Misman berkata, tiada ejen atau orang tengah yang dilantik bagi sebarang urusan di pejabat JPN di seluruh negara.

Zamri berkata maklumat mengenai prosedur permohonan dan bayaran-bayaran yang dikenakan boleh dirujuk menerusi portal rasmi JPN atau hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan.

JPN juga, katanya, mengambil serius siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa berhubung dakwaan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan melibatkan petugas jabatan itu.

“JPN merujuk kepada beberapa laporan akhbar pada 3 dan 4 Julai 2023 berkaitan JPN disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa. Jabatan ini mengambil serius terhadap perkara tersebut.

“JPN kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan serta mengadakan pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri mendedahkan Jabatan Imigresen dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Anwar, beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu kepada mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Pada awal Jun lepas, media melaporkan dua pegawai JPN ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bersekongkol dengan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid secara haram.

Penahanan itu susulan pendedahan wujudnya sindiket menawarkan pakej menjual bayi tak sah taraf atau bayi pendatang tanpa izin kepada warga tempatan lengkap dengan sijil lahir dan MyKid sah dikeluarkan JPN pada harga serendah RM3,000.

Zamri seterusnya berkata JPN sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa, malah kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan dengan melaksanakan pelbagai program pengukuhan integriti petugas.- MalaysiaGazette