KUALA LUMPUR – Belum pun tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ditetapkan, sudah mula kelihatan siri ceramah politik, baik daripada Perikatan Nasional (PN) mahupun Kerajaan Perpaduan.

Terbaru Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 anjuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kampung Teluk Durian, Baling, Ahad lalu dikatakan hambar dan tidak mendapat sambutan.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.

“Suatu ketika dahulu, lokasi ini menjadi jijik buat pimpinan PH dan penyokong tegar mereka.

“Namun demi kepentingan politik, pendirian PH membentuk kerjasama bersama UMNO dan berjaya membawa UMNO ibarat meludah ke langit, muka juga yang basah.

“Ia ibarat satu penipuan buat penyokong mereka sama ada UMNO dan PH,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 anjuran PHBN di Kampung Teluk Durian, Baling, Ahad lalu yang dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar mendapat sambutan hambar.

Ahad lalu, Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 anjuran PHBN di Kampung Teluk Durian, Baling, dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Bagaimanapun ceramah politik itu dikatakan tidak mendapat sambutan hingga kelihatan banyak kerusi kosong dan hanya satu pertiga dalam khemah sahaja hadirin yang datang.

Tambah Hanafi, kegagalan PHBN untuk menarik orang ramai mendengar ceramah itu membuktikan parti komponen Perpaduan mula ditolak rakyat.

“Terimalah kenyataan bahawa PHBN (UMDAP) bukan lagi pilihan utama rakyat ketika ini.

“Ya betul, masih ada sokongan dan dokongan buat PHBN (UMDAP) tetapi hanya berlegar sekitar penyokong tegar sahaja. Ini memang betul.

“Namun, untuk menjadi gabungan parti politik yang disokong oleh majoriti rakyat dan pengundi PHBN (UMDAP) sudah bukan lagi,” katanya

Katanya, kegagalan PHBN menunaikan manifesto PRU15 memberi laluan sukar untuk mendapat kepercayaan rakyat dalam PRN akan datang.

“Jaminan kestabilan dan menunaikan janji pilihan raya tidak lagi berjaya dipaparkan secara tindakan.

“Selama lebih 7 bulan ini, ia hanya sekadar menanam tebu di bibir mulut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast