MELAKA – Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 41 sebuah hotel dalam pusat beli belah di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mayat mangsa berusia 52 tahun ditemukan pekerja di ruang parkir lobi hotel sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, si mati jatuh dari tingkat 41 bangunan setinggi 42 tingkat itu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati satu mayat seorang lelaki dengan keadaan tubuhnya hancur dari pinggang hingga kepala” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, saksi kejadian sebelum itu mendengar bunyi dentuman yang kuat dan terkejut melihat satu mayat dalam keadaan tertiarap.
“Mayat dihantar ke Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya. – MalaysiaGazette