PUTRAJAYA – Siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlakunya aktiviti rasuah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah dimulakan Suruhanjaya Pencegahana Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai siasatan yang dilakukan pihaknya di pintu masuk negara itu.

“Kita akui komitmen dan tahap perkhidmatan yang baik dilaksanakan sebahagian besar anggota dan pegawai Jabatan Imigresen.

“Tetapi dalam masa sama, jemaah menteri tidak menafikan penglibatan pegawai terbabit (amalan rasuah) seperti insiden yang didakwa.

“Jadi, kami beri kerjasama penuh kepada SPRM meneruskan siasatan sehingga selesai untuk sahkan sama ada berlaku (rasuah) atau tidak,” katanya pada sidang media Khas di kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Saifuddin berkata, kuasa untuk memutuskan pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara akan diberikan kepada pegawai pengurusan profesional Gred 41 ke atas berbanding KP 29 ketika ini.

Katanya, ia adalah sebahagian langkah memperbaiki pengurusan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara.

“Imigresen adalah pihak berkuasa yang akan membuat keputusan berkait NTL yang mana bergantung pertimbangan kepada tiga soalan asas kepada pengembara yang tiba iaitu di mana tempat tinggal, adakah mempunyai dana yang cukup dan ada tak tiket pulang.

“Langkah membaiki ke depan nanti, Imigresen pada kadar segera akan beri autoriti untuk memutuskan tentang NTL itu kepada pegawai pengurusan profesional gred 41 ke atas,” ujarnya.

Pada masa sama tambah beliau, barisan Kabinet turut mengarahkan agar peranan sebuah syarikat yang dilantik bagi menguruskan pengembara yang dikenakan NTL diteliti semula.

Jelas beliau, syarikat yang dilantik sejak 2015 itu bertanggungjawab dalam menguruskan proses penghantaran pulang pengembara dikenakan NTL.

“Misalnya urusan tiket kapal terbang untuk balik. Mungkin apabila diminta untuk membayar kos tiket, ia seolah-olah dianggap imigresen minta duit.

“Jemaah menteri tadi minta Menteri Pengangkutan melihat aspek ini adakah ini amalan biasa atau bagaimana,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sejak Januari hingga Jun 2023, hanya 0.07 peratus NTL dikeluarkan terhadap pengembara dari China, berbanding sejumlah 592,490 kemasukan yang direkodkan.

Menurutnya, angka tersebut amat kecil berbanding pengembara China yang dibenarkan masuk ke negara ini.

“NTL juga dikenakan terhadap pengembara dari negara lain, dan lebih tinggi berbanding NTL dikenakan terhadap warga China.

“Ini gambaran lebih jelas menunjukkan jika sekatan dikenakan, pasti ada sebabnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. KLIA mudah diceroboh? Menceroboh kawasan larangan mana2 airport didunia adalah kesalahan jenayah terbesar!

    Sesiapa yang menceroboh hendaklah segera ditangkap, didakwa dan dipenjarakan.

    Sudahkah Dato Ayob menyisat penceroboh tersebut?

Comments are closed.