MELAKA – Kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang notis mengarahkan peniaga Uptown Pahlawan Walk di Banda Hilir, di sini, berpindah ke lokasi baharu seperti didakwa dalam klip video yang tular sejak semalam.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin sebaliknya berkata, sebarang cadangan pemindahan tapak peniaga berkenaan di hadapan Plaza Mahkota itu sejak 13 tahun lalu baharu di peringkat kajian.
Menurutnya, usaha yang bertujuan menjadikan laluan sepanjang 2.4 kilometer bermula dari Bangunan Stadthuys sebagai laluan bebas kenderaan itu memerlukan dialog dengan pelbagai pihak termasuk majoriti peniaga Bumiputera di sekitar Pahlawan Walk.
“Saya tegaskan di sini, tidak ada satu pun peniaga yang diberi notis untuk berpindah bukan sahaja di Pahlawan Walk, malah di mana-mana sekali pun.
“Cadangan ini masih dalam tempoh kajian lagi malah saya sendiri akan turun berjumpa dengan para peniaga berkenaan mungkin minggu hadapan untuk dengar pula pandangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, lewat malam tadi.
Terdahulu, Rais mengadakan dialog bersama kira-kira 100 peniaga bangunan di Plaza Mahkota dan Pahlawan Walk mengenai cadangan kerajaan negeri menutup sebahagian jalan raya itu kepada kenderaan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu.
Ia adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar rendah karbon selain mengurangkan kesesakan jalan raya di lokasi tumpuan pelancong itu.
Ditanya, adakan kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi baharu peniaga uptown dipindahkan jika cadangan itu dilaksanakan, beliau berkata, terdapat cadangan beberapa tapak di kawasan berhampiran tapak asal.
“Mestilah di kawasan sekitar, kita tak akan pindahkan mereka di tempat lain sebab ini masih lagi dalam kajian walaupun pada dasarkan penganjur uptown itu sendiri telah mengatakan persetujuan mereka.
“Apapun kita kena berbincang dengan peniaga dahulu mengenai beberapa tapak yang sesuai dan kalau mereka bersetuju baharulah kita berpindah, jadi tiada istilah ‘membunuh’ untuk ekonomi peniaga,” katanya.
Sejak semalam, tular di media sosial seorang peniaga wanita mendakwa hampir 200 peniaga Uptown Pahlawan Walk akan dipindahkan secara paksa tanpa sebarang notis dan perbincangan seolah-olah mahu ‘membunuh’ mereka yang sudah 13 tahun bertapak di situ.
Mengulas lanjut Rais berkata, beliau memahami tekanan dihadapi peniaga berkenaan yang mungkin mendapat maklumat kurang tepat daripada peniaga lain.
“Saya faham mungkin ada peniaga rasa tertekan bila dengar cadangan ini yang sebenarnya masih di peringkat kajian dan kita ada banyak peringkat lagi termasuk perbincangan sebelum dilaksanakan.
“Berdasarkan dialog saya dan beberapa pemimpin kerajaan bersama peniaga tadi, boleh dikatakan sangat positif bila ramai yang bersetuju bersyarat menjadikan Melaka car free zone ini dan selepas ini kita akan berbincang dengan mereka (peniaga uptown) pula,” katanya. – MalaysiaGazette