MELAKA – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan ugutan memecahkan cermin kereta jirannya menggunakan besi pencakar tanah, Jumaat lalu.
Tertuduh, Ramlan Mohd Sanusi, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan Hussin@Mohd Hussin Jaapar, 55, dengan mengatakan; “aku lama berdendam dengan kau” dan mengugut memecahkan cermin kereta sambil memegang besi pencakar tanah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Duyong Indah, di sini, kira-kira pukul 4 petang 30 Jun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malik bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya buruh yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung enam anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Kes disebut semula pada 30 Ogos ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette