(Depan, kiri) Dr. Ivy, Philip Benedict dan Dr. Shaliza serta pengurusan UM dan YBR bersama para peserta program.

PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) sentiasa komited membantu kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.

Dengan menganjurkan Program UM Deep Tech (UMDT) 3.0 Start-UP Accelerator, peserta didedahkan dengan latihan keusahawanan berasaskan teknologi melalui penyelidikan dan produk bersesuaian untuk dipasarkan.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, program itu secara tidak langsung berperanan membangunkan golongan usahawan di kalangan belia untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan latihan pendidikan dan penyelidikan.

Menerusi program itu juga, peserta bukan sahaja didedahkan latihan kemahiran, malah berpotensi memasarkan produk kepada pelabur.

“Ini dapat menjana ekonomi negara, sekali gus menarik minat pelabur dari luar negara,” katanya berucap merasmikan Program UMDT 3.0 Start-Up Accelerator di Auditorium, Menara KKPI, UM di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UM, Prof. Ir. Dr. Shaliza Ibrahim; Pengarah UM Centre of Innovation & Enterprise (UMCIE), Prof. Madya Dr. Ivy Chung; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Program YBR, Haziqah Hazemi.

Datuk Philip Benedict Lasimbang

Program enam bulan dengan kerjasama UMCIE itu melibatkan 16 kumpulan, selain penglibatan pakar perunding berpengalaman.

Ia dilaksanakan melalui kohort berbeza melibatkan pengendalian kelas teori, konseptual dan pembelajaran bercampur dengan mencakupi 65 subtopik oleh pakar perunding.

Menurut Benedict Lasimbang, pelaksanaan program itu akan memberi manfaat kepada peserta melalui peningkatan skil dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia.

Jelas beliau, program berkonsepkan mentor itu juga memberi pendedahan dan bimbingan kepada peserta untuk mendapatkan tunjuk ajar serta melontarkan sebarang idea kepada perunding.

“Program ini merupakan platfom bagi menghasilkan produk berkualiti tinggi serta sebagai persediaan kepada peserta untuk menghadapi dunia perniagaan sebenar.

“Khidmat kepakaran perunding ini bukan sahaja menjurus kepada peningkatan kemahiran serta memberi khidmat nasihat, malah peserta juga berpeluang menjana pendapatan melalui produk baharu dan akses pengetahuan pasaran bagi produk sedia ada,” katanya.

Beliau turut berpendapat, keusahawanan merupakan salah satu bidang alternatif dalam membuka peluang kepada anak muda mendapatkan pendapatan lebih lumayan serta meningkatkan taraf hidup mereka. – MalaysiaGazette