Pemain JDT lancar JDT Fans Token di pusat beli belah Toppen, di sini malam tadi.

JOHOR BAHRU – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan JDT Fans Token bagi menghargai para penyokongnya.

Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam berkata, dengan token itu penyokong JDT boleh menyuarakan pendapat mereka melalui undian yang akan dibuat menerusi platform Socios.com.

Beliau berkata, JDT Fans Token adalah idea Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab berkenaan.

“Menerusi pemilikan token ini, penyokong dapat membuat undian apa gaya ‘celebration’ yang akan dilakukan Arif Aiman Hanapi pada perlawanan akan datang. Sebelum ini, kita telah membuat undian untuk meletakkan nama ‘Arif’ sahaja pada jersi pemain sayap itu.

“Mungkin selepas ini, kita akan mẹmbuat undian apa nombor jersi yang akan dipakai Arif Aiman dan sebagainya. Perkara ini yang akan mendekatkan penyokong dengan kelab, mereka ada kuasa memutuskan perkara ini dan merasakan mereka sebahagian penting kepada JDT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran JDT Fans Token di pusat beli belah Toppen, di sini malam tadi.

Kata Kevin,  token tersebut boleh dimiliki dengan harga serendah AS$ (RM4.67) bagi setiap token yang boleh dipindah milik dan nilainya mungkin akan meningkat pada masa akan datang.

JDT merupakan kelab pertama dalam negara yang menggunakan Fans Token ini yang telah diguna pakai oleh kelab tersohor di Eropah seperti Manchester City, Barcelona, Paris Saint-Germain, Arsenal, Juventus dan lain-lain.

“Pemilikan token ini mampu meletakkan penyokong JDT setanding dengan penyokong Kelab Eropah ini kerana menggunakan token dalam platform yang sama. Kita harap token ini menjadi sesuatu yang bernilai pada masa akan datang.

“Setiap undian yang dilakukan itu, mempunyai nilai yang berbeza, semakin banyak token yang dimiliki, penyokong dapat terlibat sama dalam undian yang lebih berat,” katanya.

Untuk permulaan, JDT menawarkan kira-kira 50,000 Fans Token sahaja yang boleh dimiliki ketika ini.- MalaysiaGazette