Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid hadir pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Mana-mana pihak termasuk ahli politik akan dikenakan tindakan tegas termasuk Akta Pilihan Raya jika didapati menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) semasa kempen pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis tidak akan mengambil kira status kedudukan seseorang individu yang mencetuskan isu sensitif.

“Tidak kira orang awam ke, ahli politik ke, ahli perniagaan ke, kalau dia sentuh pasal isu sensitif 3R kita akan siasat,” katanya dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan IPK Selangor di pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah yang berkata, isu 3R dalam kempen PRN adalah dibenarkan dan tidak melanggar undang-undang.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor had berkata, tiada salah jika berbicara atau menyentuh mengenai 3R semasa kempen PRN kerana ia disebut dalam Rukun Negara.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa jika bercakap tentang 3R dianggap perbuatan ekstrem, maka Rukun Negara perlu diabaikan.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata tindakan Sanusi melanggar undang-undang termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selangor merupakan negeri keempat yang dilawati Razarudin menjelang persiapan menghadapi PRN.

Razarudin menasihatkan orang ramai agar tidak perlu menyentuh atau mengungkitkan isu-isu sensitif 3R semasa berkempen bagi memastikan keamanan dan proses demokrasi terjamin sepanjang perjalanan PRN.

Bagi memastikan perkara itu dipatuhi, polis akan memantau perjalanan kempen PRN yang melibatkan ahli-ahli politik dan penyokong masing-masing, tambahnya. – MalaysiaGazette