Antara agensi yang mengambil bahagian dalam MUN dan PMKS di Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR – Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 peringkat Kebangsaan merekodkan potensi jualan sebanyak RM25 juta menjadikan nilai keseluruhan potensi jualan berjumlah RM76 juta dicatatkan sepanjang penganjurannya di lima lokasi di seluruh negara.

Manakala, seramai 536 usahawan berpotensi menerima pembiayaan perniagaan sehingga RM29 juta.

Penganjuran MUN dan Minggu PMKS oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi peneraju SME Corp. Malaysia ini bertujuan meningkatkan kesedaran umum tentang produk dan perkhidmatan PMKS daripada pelbagai industri serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

Bertemakan “Sokong Lokal, Sokong PMKS” sebagai sokongan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PMKS.

MUN dan Minggu PMKS turut bertindak sebagai platform hebahan maklumat mengenai program pembangunan PMKS yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran MUN dan Minggu PMKS ini selaras dengan hasrat Kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030, untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat. Minggu PMKS pula secara langsung mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.

Pada tahun 2021, 97.4% perniagaan yang didaftarkan di Malaysia terdiri daripada PMKS, merangkumi jumlah keseluruhan melebihi 1.2 juta perniagaan.

PMKS telah menyumbang sebanyak RM518.1 bilion atau 37.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan peluangpekerjaan kepada lebih 7.32 juta orang.

MUN dan Minggu PMKS 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka yang berlangsung sejak 7 Julai merupakan lokasi yang kelima selepas penganjurannya di Pulau Pinang (Zon Utara), Sarawak, Melaka (Zon Selatan) dan Pahang (Zon Pantai Timur) sepanjang bulan lalu.

Sabah yang merupakan lokasi terakhir dan bakal menutup MUN dan Minggu PMKS pada tahun ini akan diadakan dari 15 hingga 16 Julai di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette