KUALA LUMPUR – Kelantan United FC membawa masuk pemain pertahanan dari kelab divisyen kedua Crotia, NK Dugopolje iaitu Dominik Balic sempena jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ketika ini.
Balic yang berusia 27 tahun mempunyai ketinggian 190 sentimeter berkeupayaan beraksi di posisi pertahanan tengah dan tengah bertahan.
“Pihak pengurusan Kelantan United FC berharap pemain yang pernah beraksi di Liga Super Malaysia ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada pasukan Sang Kijang Hijau pada baki perlawanan yang akan dilalui dalam saingan liga serta Piala Malaysia,” tulis kelab itu di laman Facebook miliknya.
Sebelum ini, Kelantan United terus bernafsu mengukuhkan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super apabila mengikat pemain kelahiran Uzbekistan, Sirojiddin Rakhmatullaev.
Pemain tengah bertahan itu menjadi pemain import keempat dibawa masuk dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
Sebelum itu, Sang Kijang Hijau mengikat dua ‘oppa’ dari Korea Selatan, Kim Min Kyu dan Kim Deok, serta penggempur berbisa jiran tetangga Kelantan FC, Ismaheel Akinade. – MalaysiaGazette