Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuka 104 kertas siasatan kes penipuan pelaburan yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.24 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Timbalan Ketua Polis IPD tersebut, Supt. M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata,  sindiket penipuan berkenaan menggunakan tawaran kerja sambilan dengan pulangan yang lumayan sebagai modus operandi (MO).

Jelas beliau, mangsa akan diberi tugasan dan kemudian diminta membuat bayaran kepada suspek melalui keldai akaun.

Menurutnya, sindiket berkenaan akan mengaburi mata mangsa dengan bayaran komisen pertama yang memberangsangkan.

“MO sindiket ini dengan menghantar Whatsapp tawaran kepada mangsa.

“Mangsa yang yakin dengan pelaburan tersebut meneruskan tugasan berikutnya untuk mendapat bayaran  serta komisen lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Mangsa akhirnya sedar ditipu apabila tidak lagi menerima komisen seterusnya dan dalam masa yang sama suspek tidak dapat dihubungi.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya sentiasa lebih peka dan tidak terpedaya dengan tawaran kerja dengan tawaran pulangan lumayan dalam tempoh  masa yang singkat.

“Berhati-hati sekiranya menerima mesej bagi apa-apa tawaran. Semak dahulu kesahihan sebelum bertindak. Elakkan diri jadi mangsa dunia tanpa sempadan ini,” ujar beliau.-MalaysiaGazette