Gambar hiasan

KENAIKAN kos sara hidup telah menjadi isu yang semakin meruncing dan memberi kesan kepada penduduk di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kenaikan harga barangan keperluan asas seperti makanan, perumahan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan telah menyebabkan beban kewangan yang besar terhadap individu dan keluarga. Dalam konteks penjagaan kesihatan, salah satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah penjagaan kesihatan pergigian. Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa kesihatan pergigian sering diabaikan apabila keluarga menghadapi tekanan kewangan kerana perlu mengutamakan keperluan asas yang lain. Kajian di Malaysia juga menunjukkan bahawa faktor sosioekonomi seperti pendapatan dan status sosial memainkan peranan penting dalam akses dan penggunaan perkhidmatan kesihatan pergigian. Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan bahawa hanya 23% individu yang mengalami masalah pergigian menggunakan perkhidmatan pergigian.

Kajian ini juga menunjukkan kebergantungan penduduk yang tinggi (80.7%) terhadap perkhidmatan kesihatan pergigian awam, manakala perkhidmatan swasta kebanyakannya diakses oleh penduduk bandar. Dalam kalangan mereka yang menggunakan perkhidmatan ini, hampir dua daripada lima individu membayar kos rawatan pergigian dengan menggunakan duit poket sendiri. Ini menunjukkan keperluan yang mendesak untuk meningkatkan akses dan kemampuan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian. Kenaikan kos rawatan pergigian yang melambung tinggi memburukkan lagi beban kewangan yang telah lama dirasai oleh individu dan keluarga. Ia menjadi satu cabaran yang serius, di mana akses kepada rawatan pergigian menjadi terhalang, terutamanya di sektor swasta. Keadaan ini khususnya dirasai oleh masyarakat tempatan, terutamanya golongan B40 dan M40, yang semakin sukar untuk mendapatkan rawatan pergigian asas yang diperlukan. Akibatnya, ada individu yang terpaksa menanggung kesakitan, mengabaikan masalah pergigian, melewatkan rawatan, atau bahkan ada yang terjebak dengan rawatan pergigian dari individu yang tidak bertauliah.

Walaupun klinik kerajaan menyediakan rawatan pergigian bersubsidi dengan bayaran yang minimum, seperti cabutan gigi dengan bayaran RM1 dan tampalan gigi dengan bayaran RM2, umum sedia maklum bahawa tempoh dan senarai menunggu di klinik kerajaan adalah lebih lama berbanding klinik swasta. Selain itu, akses ke klinik pergigian kerajaan dan swasta melibatkan kos tambahan, terutamanya kos pengangkutan. Rawatan kompleks seperti pembuatan gigi palsu dan rawatan akar sering memerlukan beberapa lawatan ke klinik sebelum rawatan selesai. Bagi penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar atau terpencil, pengangkutan ke klinik boleh menjadi satu cabaran. Kos pengangkutan seperti tambang bas, teksi, e-hailing, atau kos minyak petrol dapat memberikan tekanan tambahan kepada individu berpendapatan rendah yang ingin mendapatkan rawatan pergigian di klinik. Selain itu, di kawasan bandar seperti Lembah Klang, masyarakat juga menghadapi bebanan kos tambahan seperti bayaran tempat meletak kenderaan (parking), yang sering menjadi keluhan di kalangan pesakit di bandar-bandar besar. Faktor-faktor ini menyumbang kepada potensi kerugian produktiviti dan menghalang individu daripada menerima rawatan pergigian sewaktu mereka perlukan dengan harga yang berpatutan.

Bagi individu yang mempunyai keperluan khas atau kurang upaya, kanak-kanak mahupun golongan warga emas, kekangan akses untuk mendapatkan rawatan pergigian melibatkan kos dan keperluan kehadiran penjaga. Mereka biasanya mempunyai kesulitan mobiliti atau memerlukan sokongan tambahan untuk hadir ke klinik pergigian. Kumpulan pesakit ini bergantung sepenuhnya kepada bantuan penjaga untuk mengiringi mereka dalam pemeriksaan dan rawatan pergigian. Walaubagaimanapun, sesetengah penjaga yang membawa mereka terpaksa mengambil cuti, dan ada di antara mereka bergantung kepada pendapatan harian untuk menyara kehidupan. Ini sedikit sebanyak menghalang mereka dari mendapatkan rawatan pergigian yang amat mereka perlukan, termasuk rawatan kecemasan dan rawatan asas. Hasilnya, ramai individu terpaksa menangguhkan atau mengabaikan penjagaan pergigian yang diperlukan disebabkan beban kewangan tambahan ini, akhirnya mengorbankan kesihatan pergigian dan seterusnya menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

Umum maklum, masalah kesihatan pergigian seperti gigi berlubang dan penyakit gusi boleh dicegah dengan amalan penjagaan kebersihan gigi yang baik. Namun, masih terdapat individu yang terjejas disebabkan ketidakmampuan mereka untuk membeli kelengkapan asas penjagaan kebersihan diri, termasuk berus gigi dan ubat gigi berfluorida. Malah ada keluarga yang masih berkongsi berus gigi dan menghadapi kesulitan menggantikan berus gigi yang usang akibat tekanan kewangan. Ini memberikan kesan negatif di mana risiko jangkitan kuman dan penularan bakteria antara individu menjadi meningkat. Mengabaikan kebersihan diri dapat memberikan implikasi yang serius terhadap kesihatan individu secara keseluruhan. Dalam konteks kebersihan mulut, rutin harian seperti memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berflorida secara efektif sangat berkesan dalam pencegahan masalah pergigian. Namun, tanpa akses kepada alat pencegahan asas ini, individu yang kurang bernasib baik mempunyai risiko yang lebih tinggi dan memerlukan rawatan yang kompleks, malah akan menjadikan kos rawatan meningkat, justeru boleh memberi kesan negatif kepada kualiti kehidupan mereka.

Untuk menangani cabaran ini, adalah penting untuk kita memahami impak kos hidup yang tinggi terhadap penjagaan pergigian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tindakan perlu diambil untuk meringankan beban yang menimpa golongan yang terkesan. Usaha kolektif oleh pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan pihak berkepentingan lain adalah penting dalam mencapai objektif ini. Inisiatif boleh dilaksanakan untuk menyediakan bantuan kelengkapan asas penjagaan gigi seperti berus gigi dan ubat gigi berfluorida secara berkala kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, bantuan kewangan perlu disediakan bagi membolehkan individu berpendapatan rendah mendapatkan rawatan pergigian yang di perlukan. Pengecualian cukai untuk rawatan pergigian atau kemasukan penjagaan pergigian dalam perlindungan insurans swasta bagi kumpulan pendapatan lain juga boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan kewangan.

Selain itu, membina kerjasama antara sektor awam dan swasta (public- private partnership) adalah penting untuk menyediakan rawatan pergigian dengan harga berpatutan kepada golongan berpendapatan rendah di klinik swasta. Pendekatan ini dapat memperluas ketersediaan perkhidmatan pergigian serta meningkatkan akses kepada klinik pergigian swasta yang secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada klinik kerajaan. Sesetengah fasiliti pergigian swasta juga sudah menawarkan kemudahan bayaran ansuran dan fleksibel, membolehkan individu menguruskan beban kewangan yang berkaitan dengan rawatan gigi dengan lebih efektif. Selain itu, melalui program tanggungjawab sosial korporat, syarikat swasta boleh memberi sumbangan dalam bentuk perkhidmatan pergigian percuma kepada masyarakat yang memerlukan. Ini menyokong inisiatif yang bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan gigi yang berpatutan.

Sumbangan ini dapat meluaskan akses kepada rawatan pergigian yang
berkualiti tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangan individu atau keluarga. Dengan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan, badan kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, serta sektor swasta, langkah-langkah strategik dan inovatif perlu diambil untuk meningkatkan keupayaan masyarakat untuk mendapatkan rawatan pergigian yang berkualiti dan kefahaman mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pergigian. Dengan mengambil langkah-langkah ini, tanpa mengira status ekonomi, kita dapat mengubah landskap kesihatan pergigian di kalangan rakyat Malaysia, meningkatkan kebolehupayaan individu dan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan pergigian yang optima.

Oleh: Dr Nor Azlida Mohd Nor & Dr Ainol Haniza Kherul Anuwar
Pensyarah, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast