tuala wanita
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Bersatu mempertikaikan sikap dwi standard Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pimpinannya yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan raja, kaum dan agama (3R).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kesal apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan DAP didakwa berterusan menyentuh isu sensitif namun tiada tindakan tegas diambil.

“Mereka mengatakan isu berkait dengan 3R adalah isu sensitif yang tidak sepatutnya disentuh. Tapi kalau dilihat sebenarnya yang lebih banyak menyentuh isu-isu yang sensitif ini adalah di sebelah PH dan DAP.

“Tetapi melabelkan Perikatan Nasional (PN) yang sentuh isu 3R. Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab seolah-olah mereka tidak memainkan isu 3R,” katanya pada sidang media hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Perdana Menteri memberi amaran terakhir supaya tidak ada mana-mana pihak menyentuh isu sensitif atau 3R.

Anwar berpandangan isu sensitif telah digunakan sehingga ke tahap serius dan telah dibiarkan berlarutan selama berpuluh tahun.

Wan Saiful juga mengingatkan Perdana Menteri agar tidak terlepas pandangan dengan tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy yang menyentuh isu 3R secara terang-terangan.

“Prof Ramasamy sengaja menimbulkan isu berkaitan dengan perobohan kuil dipetik secara spesifik iaitu Kuil Sri Madurai Veeran di Alor Setar dan Kuil Sri Raja Muniswaran di Kuala Kedah.

“Beliau menimbulkan isu ini pada waktu ini, isu berkait dengan agama, perobohan kuil yang pasti dilakukan mengikut undang-undang, kalau tidak setuju, sila buat tuntutan di mahkamah.

“Tapi dia timbulkan isu ini dengan tujuan untuk mempengaruhi dan menghasut penganut agama Hindu untuk membenci tindakan itu yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengikut saluran undang-undang,” katanya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melihat ketegasan Perdana Menteri hanya lakonan semata-mata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

“Isu perobohan kuil, kenapa sekarang ditimbulkan, kenapa tak disebut sebelum ini? Kenapa tak ikut saluran perundangan untuk membantah, kenapa ditimbulkan semasa pilihan raya.

“Apabila kerajaan bercakap mengawal selia media dengan peraturan mereka, tak nak isu sensitif disebut, ini semua lakonan sahaja.

“Dia main isu sendiri, dia melabel seolah-olah orang lain main isu tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast