Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara antara Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd. dengan agensi pelancongan dari Indoensia, MM Mubarok yang berlangsung semalam.

KUALA LUMPUR – Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd. (PMD) bakal menerima pelajar luar negara pertamanya akhir tahun ini dalam usaha melahirkan mutawwif antarabangsa bertaraf profesional.

Pengarah Urusannya, Abdul Halim Ikhsan berkata, ia melibatkan kehadiran lebih 100 pelajar dari Indonesia termasuk 20 dari Singapura pada pengambilan semester baharu yang bermula pada Disember depan.

Beliau berkata, pelajar tersebut akan mengikuti pengajian di Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) milik PMD iaitu sebuah kolej yang menawarkan program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah Dan Ziarah.

“PMD ketika ini agresif mengeluarkan ramai graduan mutawwif yang bertauliah bagi memudahkan urusan rakan industri iaitu syarikat pelancongan dalam memilih mutawwif profesional sebagai ikon atau sebahagian daripada kakitangan syarikat-syarikat mereka.

“Dengan pengambilan pelajar dari luar negara, kami berharap ia bukan sahaja menjadi titik tolak kepada pemantapan industri umrah dan perlancongan di negara ini bahkan ia turut memperkasakan lagi bidang pendidikan Malaysia terutama dalam program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi pelancongan dari Indoensia, MM Mubarok untuk menjadi gerbang masuk dengan pelajar dari negara jiran.

Turut hadir Pengarah Utama, MM Mubarok, Iqbal Iskandar Muda.

Abd Halim Ikhsan (kanan) dan Iqbal Iskandar Muda.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berharap dengan kerjasama dengan syarikat dari luar negara buat pertama kali sejak penubuhan pada 2019 dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami berharap ikatan jalinan seumpama ini dapat dijadikan contoh bagi kedua-dua negara dalam memperkasakan professionaliti mutawwif dunia.

“Oleh itu, segala sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat amat dialu-alukan agar kerjasama ini terus kekal erat dan teguh serta berterusan,” katanya.

Abdul Halim menambah, PMD telah menarik minat universiti-universiti awam dan juga swasta untuk berkerjasama antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melibatkan cawangan Samarahan, Lendu, Mukah, Permatang Pauh dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Katanya turut menjalinkan kolaboras adalah Universiti Tun Hussein Onn, Kolej Sidma Kuching dan Universiti College Yayasan Pahang (UCYP).

“Jumlah pelajar PMDIC terkini telah mencapai 1,000  orang dari kesemua cawangan yang sedia ada di seluruh negara.

“Dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, PMDIC akan mula beroperasi di Universiti Malaysia Sabah dan juga Universiti Malaya,” katanya.

Sementara itu, semua modul PMDIC telah mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di mana yuran pengajian dikendalikan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Ketika ini, seramai 140 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan hampir 100 peratus dijaminkan pekerjaan. – MalaysiaGazette