GOMBAK – Pelaburan daripada syarikat Tesla dan SpaceX bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjangkakan hasil pelaburan daripada perbincangannya dengan pemilik syarikat kenderaan elektrik (EV) Tesla yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk pagi tadi.
Jelas Anwar, ia termasuklah dengan kemasukan kenderaan elektrik Tesla di negara ini selepas pembukaan ibu pejabat syarikat itu di Petaling Jaya tahun ini.
“Perbincangan dengan Elon Musk tadi adalah satu perkembangan yang baik tentang peningkatan dalam kemasukan kenderaan elektrik dan dia telah setuju untuk adakan (ibu) pejabat.
“Kalau (pelaburan) sekali SpaceX dan EV itu akan melibatkan puluhan ribu kerja mahir,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Al Kairiyah Taman Seri Gombak.
Selain itu, kerjasama itu bakal memperhebat akses dan ketersambungan internet sekali gus memberi peluang kepada kawasan luar bandar untuk mengakses kemudahan itu.
“(Perkhidmatan satelit) Starlink pula, kita setuju dan ini akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah, universiti untuk mendapat akses internet dengan cara yang murah.
“Walaupun 40 (perkhidmatan satelit) disediakan awal, tetapi beliau beri pengakuan untuk memberi keutamaan kepada Malaysia.
“Bagi SpaceX pula, tiga syarikat Malaysia akan terbabit dalam projek ini, selain beliau beri pengakuan untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
Awal hari ini, Anwar mengadakan pertemuan secara maya dengan Elon untuk membincangkan pelbagai pelaburan di Malaysia.
Pertemuan maya antara Anwar dengan Elon itu bermula 9.30 pagi tadi dan berlangsung kira-kira 25 minit.
Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: