YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pesawah, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil Peringkat Negeri Kedah, di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Alor Setar, 15 Julai 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned

KULIM – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu melicinkan program yang dirangka agensi itu dalam usaha membantu Sahabat Usahawan di seluruh negara.

Beliau berkata ia merupakan peruntukan awal untuk AIM, yang kini memiliki 326,510 Sahabat Usahawan di seluruh negara, sebelum tumpuan lebih khusus kepada agensi itu diberikan dalam Belanjawan MADANI 2024 yang bakal dibentang pada Oktober ini.

“Bagi memastikan kelicinan program AIM sebelum Oktober ini di mana saya boleh kaji secara menyeluruh keperluan AIM dan bagaimana tingkat kegiatannya, menambah jumlah Sahabat Usahawan, saya pada petang ini meluluskan peruntukan RM10 juta untuk AIM,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Karnival Sahabat Usahawan AIM yang menghimpunkan sejumlah 8,000 Sahabat Usahawan Wilayah Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

AIM, yang ditubuhkan pada 17 Sept 1987, telah membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara dan berjaya menjangkau empat juta isi rumah menikmati pelbagai manfaat menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (Ekonomi dan Sosial).

Perdana Menteri berkata fungsi dan peranan AIM dalam membantu golongan wanita, khususnya B40, untuk keluar daripada kepompong kemiskinan sama sekali tidak boleh dinafikan dan sehubungan itu, beliau akan mencari kaedah agar sebahagian dana dalam usaha menoktahkan kemiskinan turut disalurkan melalui agensi berkenaan.

Beliau berkata AIM, yang membolehkan Sahabat Usahawan menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi, amat dekat dan istimewa di hatinya sambil mengimbas kenangan pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada agensi itu pada 1990-an ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Kemudian bila saya diterajang keluar, 2012 hingga sekarang tiada peruntukan tapi Alhamdulillah, Anwar naik balik jadi Perdana Menteri, jadi saya nak sambung balik kerja dulu bagaimana boleh tingkatkan pendapatan rakyat miskin, bagaimana harus bantu AIM dan Oktober ini, kita ada program khas bangkitkan kemajuan AIM,” katanya.

Anwar bagaimanapun berkata hasrat untuk memajukan AIM perlu mendapat sokongan serta kerjasama kerajaan negeri dan jika beliau terus diberikan mandat, usaha membantu institusi kewangan mikro itu antara yang akan menjadi keutamaannya.

Perdana Menteri berkata dalam masa terdekat, beliau akan meminta pihak pengurusan AIM memberi laporan terperinci mengenai kaedah memperkasakan lagi agensi itu dalam usaha menambah kegiatan ekonomi, meningkatkan jumlah Sahabat Usahawan dan mengurangkan tekanan kos pengurusan serta perkhidmatannya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek berjumlah RM269.3 juta daripada AIM kepada Pengurus Kanan Wilayah Kedah AIM Nor Hayati Hussain dan Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) AIM Zamarina Samsu untuk disalurkan sebagai model perniagaan kepada Sahabat Usahawan di seluruh Kedah.

Beliau turut menyerahkan cek berjumlah RM105.7 juta daripada AIM kepada Pengurus Wilayah Pulau Pinang Salina Jaafar serta Ketua LPS Pulau Pinang dan Perlis Zariati Abd Hamid.- BERNAMA