Hannah pada majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Mini Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang di Padang Kota hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berjumpa dengan pihak berkaitan isu gangguan seksual jurulatih sukan dodgeball terhadap beberapa murid sekolah rendah di Damansara, Selangor minggu depan.

Menterinya, Hannah Yeoh akan bertemu dengan pihak terbabit bagi mendengar sendiri penjelasan berhubung isu berkenaan sebelum memulakan siasatan.

Katanya, beliau dijangka bertemu Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Radha Krishnan pada Isnin atau Selasa depan.

“Kita mengambil maklum berhubung isu gangguan seksual ini dan setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan siasatan berkaitan isu ini memandangkan ia melibatkan murid sekolah rendah.

Hannah.

“Laporan polis juga telah dibuat dan minggu depan saya akan berjumpa dengan pihak yang terlibat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Jelajah Mini Rakan Muda Peringkat Pulau Pinang di Padang Kota hari ini.

Media tempatan pada Khamis lalu melaporkan guru besar sebuah sekolah rendah di Selangor membuat laporan polis dengan mendakwa seorang jurulatih dodgeball telah menanggalkan seluar murid, mencubit puting dada murid lelaki dan menyuruh murid perempuan merangkak di celah kangkang.

Antara lain turut dinyatakan dalam laporan polis pada 26 Jun lalu itu, jurulatih terbabit telah bertindak mengacah untuk menjatuhkan kayu di atas bahagian kemaluan seorang murid lelaki.

Selain itu, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia,  Datuk Radhakrishnan turut mendakwa siasatan mendapati lesen kejurulatihan individu tersebut telah ditamatkan pada 11 Jun 2021 atas kesalahan menggunakan sijil kejurulatihan tahap dua yang tidak wujud. – MalaysiaGazette