SHAH ALAM – Kerajaan tidak pernah membincangkan soal kaum dalam mesyuarat Kabinet semasa saya menjadi Perdana Menteri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, perkara itu diakui sendiri bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut menyertai barisan Kabinet diketuainya sebelum ini.
“Dia (Ka Siong) kata Tan Sri, saya duduk dalam Kabinet banyak kali sebelum ini, tapi ini pertama kali Kabinet yang dipimpin oleh kamu (Muhyiddin) yang kita tak pernah bincang tentang kaum.
“Ia bukan sesuatu yang saya jangka keluar daripada mulut dia (Ka Siong), dia seorang Cina. Ketika itu PN (Perikatan Nasional) diberi peluang untuk pimpinan kerajaan, perkara kritikal ialah apa yang rakyat mahukan, apa masalah dengan rakyat.
“Kita tak cakap tentang agama atau debat soal hudud,” katanya pada Konvensyen Profesional 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.
Jelas Muhyiddin, sebaliknya pentadbiran 17 bulan beliau lebih fokus kepada menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Sebagai kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat, amanah, tanggungjawab, ia adalah kunci, Islam menuntut kita supaya menjadi amanah dengan tangani masalah.
“Kita ambil tindakan secepat mungkin berdepan pandemik Covid-19 yang tidak pernah negara alami sebelum ini, dunia pun tak pernah alami sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Kabinet ketika itu dibuat secara kolektif tanpa meminggirkan mana-mana parti komponen kerajaan campuran.
“Pas sebahagian daripada kerajaan, Pas bertindak dengan penuh profesional. Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertindak dan merujuk kepada institusi, dia sangat berkelayakan, tunjukkan prestasi baik khususnya di Parlimen.
“Kita letak Pas sebagai Menteri Alam Sekitar iaitu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau juga bertugas dengan baik,” katanya.
Muhyiddin akui beliau cuba terapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya walaupun Bersatu yang diwakili beliau bukan parti berasaskan agama Islam seperti Pas.
“Ketika pandemik, ia tentang untuk menyelamatkan nyawa, kita buat itu. Keduanya tentang masalah ekonomi, masalah negara masih berdepan ketika ini.
“Pasca pandemik, proses pemulihan, berdepan dengan SME, bantu orang susah dan memerlukan bantuan, jumlah dalam kategori B40 telah menjadi B61 kerana orang miskin bertambah dalam masyarakat, kena pastikan ada makanan atas meja.
“Ini ciri-ciri Islam yang saya cuba terapkan dalam pentadbiran lalu malah ia adalah kunci kemanusiaan, ia penting,” katanya lagi.
Menyorot kembali peristiwa itu, Muhyiddin mengakui Pas sudah menjadi rakan kongsi PN ketika itu apatah lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana gabungan politik itu semakin erat.
“Pas sudah menjadi rakan kongsi, Pas adalah parti majoriti dalam PN ketika ini, Bersatu adalah kedua selepas Pas, Gerakan tiada kerusi.
“Saya beri jaminan, PN memimpin negara, kita akan jadi kerajaan yang adil dan saksama, kita akan bantu semua orang kerana ini adalah Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette