JAKARTA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani dua Memorandum Perjanjian (MoA) dan satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua Institusi Pendidikan Tinggi dan satu rakan industri di Indonesia bagi mengukuhkan jaringan kerjasama strategik pendidikan tinggi di antara dua negara, di sini, semalam.
MoA UKM yang ditandatangani itu melibatkan Fakulti Perubatan dengan Fakultas Kedokteran Universitas Padjadjaran (UNPAD), Fakulti Pendidikan dengan Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), manakala MoU pula adalah jalinan kerjasama antara Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape) dengan PT Tracol Asia Indonesia.
Majlis pertukaran dokumen MoA dan MoU yang diadakan di Jakarta ini adalah menerusi lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam meningkatkan kerjasama diantara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia dan Indonesia, yang turut melibatkan beberapa IPT lain dari Malaysia.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, kerjasama antara UKM dengan UNPAD telah lama terjalin sejak 17 tahun iaitu bermula dengan program kerjasama Ijazah Doktor Perubatan UKM-UNPAD pada sesi pengambilan pelajar 2006/2007.
Program ini dijalankan selama enam tahun, iaitu tiga tahun pertama proses pembelajaran dijalankan di UNPAD bagi peringkat praklinikal dan tiga tahun kedua akan dijalankan di UKM untuk peringkat klinikal.
Graduan daripada program ini akan menerima dua ijazah iaitu Sarjana Kedoktoran dari UNPAD dan Ijazah Doktor Perubatan dari UKM.
Pada tahun 2022, katanya, proses penambahbaikan program telah dimulakan dan dipersetujui oleh pihak UKM dan UNPAD untuk menjadikan program tersebut lebih kompetitif, iaitu dengan memendekkan durasi program kepada lima tahun, dengan dua tahun pertama proses pembelajaran dijalankan di UNPAD bagi peringkat praklinikal dan tiga tahun kedua dijalankan di UKM bagi peringkat klinikal.
“Pelaksanaan perjanjian antara UKM dan UNPAD bagi kurikulum lima tahun ini juga tertakluk kepada dahuluan keadaan yang telah ditetapkan dalam perjanjian iaitu untuk mendapatkan kelulusan dan semakan daripada pihak-pihak bagi memenuhi segala syarat, keperluan serta kelulusan berkaitan program disemak dan disahkan,” jelas beliau.
Selain itu, pemeteraian MoA antara UKM dengan UPI pula bermatlamat untuk membina hubungan baik dengan pihak UPI dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan dan penerbitan, serta pembangunan kapasiti dalam kalangan pelajar dan kakitangan.
“Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan sepanjang lima tahun perjanjian ini adalah kolaborasi ijazah dual di peringkat prasiswazah atau siswazah, program mobiliti pelajar dan kakitangan, kerjasama penyeliaan, penyelidikan, dan penerbitan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, MoU yang ditandatangani antara UKM dengan PT Tracol Asia Indonesia pula adalah bagi menjalin kerjasama untuk membuka Pusat Persisir (Offshore Center) UKM di Jakarta.
Melalui kerjasama ini, ia bakal menyaksikan pembukaan pusat pembelajaran pesisir kedua UKM selepas yang pertama bakal dibuka di Qatar pada hujung tahun ini.
Kerjasama ini juga adalah untuk meneroka dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang pengajian pendidikan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Antara aktiviti yang dirancang melalui korelasi ini adalah program mobiliti pelajar dan menjalankan aktiviti penyelidikan dan penerbitan, tambahnya.
Tambah beliau, terdapat 10 jurusan program yang akan terlibat hasil daripada kerjasama UKM dan PT Tracol Asia Indonesia iaitu lima jurusan di peringkat Sarjana merangkumi Program Sarjana Pendidikan TESL, Arkitek, Psikologi, Komputer Sains dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), manakala lima jurusan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula adalah program Kejuruteraan Elektrik, Sains Komputer, Pendidikan, Ekonomi dan Arkitek.
“UKM menjangkakan kira-kira 3,000 mahasiswa akan menerima manfaat daripada kerjasama ini bagi tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette