KUALA LUMPUR – Berbaki lapan hari sahaja lagi untuk proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakui parti itu tidak boleh mengambil alih mana-mana negeri yang ditandinginya.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, MUDA hanya ingin menjadi pihak semak dan imbang bagi negeri-negeri yang parti itu dipilih oleh pengundi selepas 12 Ogos ini.
“Kita kena realistik kerana ini adalah idealisme yang ingin kita kongsikan kerana untuk MUDA ingin ambil alih mana-mana kerajaan negeri memang mustahil.
“Kita tidak bertanding di 10 peratus pun jumlah kerusi, dengan itu MUDA ingin menggariskan idea cadangan penambahbaikan yang boleh kita ketengahkan supaya rakyat tahu apa yang akan kita akan suarakan jika diberikan peluang untuk jadi semak dan imbang di peringkat DUN,” katanya dalam sidang media pelancaran manifesto MUDA.
Syed Saddiq berkata, idea-idea dalam manifesto yang dilancarkan hari ini merupakan solusi parti itu untuk proses penambahbaikan kepada pentadbiran yang lebih positif pada masa akan datang.
“Kalau kita berada (di DUN) dan jadi suara rakyat dalam DUN, MUDA akan ketengahkan idea-idea ini sebagai solusi, kita tidak ada jumlah untuk bentuk kerajaan tapi kita ada adalah idea penambahbaikan yang boleh dicadangkan. Kita akan terus berkempen, berdasarkan isu ini,” ujarnya.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tidak kira siapa yang membentuk kerajaan negeri, negeri terbabit akan berada dalam landasan yang betul.
“Kurangkan pemusatan kuasa di mana kuasa dibuat di peringkat Menteri Besar dan exco sahaja, MUDA ingin mencadangkan supaya keputusan besar dikembalikan semula ke peringkat DUN supaya dapat dibahaskan dna diputuskan melalui undian,” katanya.
Bertemakan ‘Politik baru’, MUDA mengariskan empat agenda teras yang menyentuh isu pro rakyat, telus dan inklusif, suara lantang anak muda, mendigitalkan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan serta pemeliharaan alam sekitar.
Setakat ini, MUDA mengumumkan akan bertanding 10 kerusi iaitu lapan di Selangor dan masing-masing satu kerusi di Terengganu dan Pulau Pinang.
Kerusi- kerusi tersebut adalah DUN N14 Bandar (Terengganu), DUN N23 Dusun Tua (Selangor), N06 Kuala Kubu Baharu (Selangor), N32 Seri Setia (Selangor), N49 Sungai Kandis (Selangor), DUN Seri Serdang (Selangor), DUN Batu Tiga (Selangor), DUN Sentosa (Selangor), DUN Bukit Antarabangsa (Selangor). – MalaysiaGazette