KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) khususnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa berhenti mengeluarkan kenyataan populis dan retorik.
Setiausaha Politik Ahli Parlimen Sungai Buloh, Aidi Amin Yazid berkata, sebelum ini Ahli Parlimen Muar itu pernah melahirkan hasrat untuk menjadi kuasa ketiga pada pilihan raya negeri (PRN) dengan calon-calon tertumpu pada kerusi yang dipegang Pakatan Harapan (PH).
Namun kata Aidi, tiba-tibaSyed Saddiq berubah nada memberitahu, niat beliau sekadar hendak mengkritik kerajaan dengan tujuan semak dan imbang.
“Rakyat Malaysia cukup matang untuk menilai perlakuan Syed Saddiq yang penuh dengan ketidakjujuran. Lebih baik beliau fokus kepada usaha membina demokrasi matang dalam MUDA dahulu.
“Sikap hipokrit harus dibendung dari awal dan beliau harus bermuhasabah diri sebelum terjerat dengan permainan sendiri. Mengapa hanya sekadar pengkritik kerajaan PH? Mengapa tidak ambil pendekatan sama dengan golongan yang cuba keruhkan kestabilan politik negara?
“Andai mahu jadi semak imbang, Syed Saddiq perlu jelaskan komitmen perjuangan kepada anak muda. Bukan sekadar mengambil kerusi di kawasan bandar dan memecahbelahkan undi yang akan hanya menguntungkan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan.
Soal Aidi lagi, kalau benar niatnya, kenapa tidak berentap lebih ramai di kerajaan negeri lain yang dahagakan pembaharuan, selain negeri Selangor.
“Masih ada ahli MUDA yang mendakwa suara mereka dihalang apabila mengkritik kepimpinan parti yang belum pernah melalui proses pemilihan mahupun mempunyai sebuah perlembagaan sebagai teras perjuangan.
“Disiplin dalam sesebuah organisasi mencerminkan ketegasan dan bukannya kezaliman seorang pemimpin. Sifat kerjasama dan penglibatan semua pihak pula memerlukan komunikasi yang jelas tanpa berdolak-dalik.
“Politik baharu harus memupuk reformasi minda dalam melihat penyelesaian secara berstruktur dan bukan lambakan permasalahan yang membayangkan sebagai satu bebanan. Buangkan sifat ego itu,” tegasnya. -MalaysiaGazette