Bung Moktar Radin mandatory Covid-19 vaccine
Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – UMNO menerusi sayap parti itu perlu lebih agresif menarik lebih ramai sokongan anak muda terutama pengundi 18 tahun, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, sokongan undi muda terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) agak kurang memberangsangkan.

Katanya, usaha mendekati golongan itu perlu dipertingkatkan oleh Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO agar sokongan kembali kepada BN sebagaimana sebelum ini.

“Mereka perlu memainkan peranan penting dan lebih efektif dalam usaha mengukuhkan lagi parti di seluruh negara khususnya dalam mendekati golongan pengundi muda.

“Pendekatan yang lebih berkesan perlu dilakukan untuk menarik semula sokongan mereka ini terutama Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

“Hanya Pemuda UMNO, Wanita dan Puteri memahami serta dapat menyelami citarasa golongan pengundi ini ke arah mana minat mereka seperti sukan, kesenian, riadah dan kebajikan,” katanya di Sabah, hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, bagi membantu golongan muda meningkatkan ekonomi mereka, Pemuda wajar memberikan pendedahan ilmu kemahiran kepada belia menganggur.

Katanya, aktiviti itu boleh dilaksana melalui kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti kursus, seminar dan sebagainya agar golongan muda didedahkan peluang pekerjaan disediakan kerajaan.

Selain itu, ujar beliau, Pemuda UMNO juga perlu menguasai media baharu seperti Facebook, Instagram dan TikTok yang kini menjadi pilihan anak muda dan juga pilihan parti lawan untuk menyebarluaskan pengaruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast