PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) memberikan tumpuan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu lebih penting daripada melayan karenah kumpulan-kumpulan tertentu yang akhirnya hanya akan menyebabkan PH terperangkap.
“Pandangan saya ialah cara terbaik untuk meyakinkan rakyat, undi kita adalah menumpukan perkara penting untuk rakyat sebab ia ada kesan dan sebagainya.
“Sebab itu tumpuan kita kepada pengundi atas pagar ini, lebih memberikan hasil dalam PRN dari kami terperangkap dengan kumpulan tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengumuman Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia semalam yang secara terbuka menzahirkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sempena PRN, sama ada ia boleh menjejaskan kempen PH pada PRN nanti.
Presiden pertubuhan berkenaan, Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz dipetik berkata, kumpulan tersebut yang merupakan penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana membisu tanpa tiada sebarang langkah untuk memberikan keadilan kepada Najib.
Katanya, selama ini mereka mengambil sikap bersangka baik terhadap Ahmad Zahid kerana yakin beliau dapat memberi keadilan kepada Najib.
Bagaimapaun, Syed Muhammad Imran mendakwa, Ahmad Zahid diam menikus apabila Perdaba Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup pintu keadilan, walaupun ada kenyataan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya boleh mencetus perbicaraan semula yang lebih adil terhadap Najib.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihaknya menyerahkan masalah dalaman yang berlaku terhadao UMNO kepada pucuk pimpinan parti tersebut untuk menanganinya.
Katanya, sebagai parti yang mengangkat Kerajaan Perpaduan, PH akan menyakinkan pengundi di enam negeri terhadap perkara-perkara paling penting dilakukan oleh parti-parti dalam kerajaan.
“Jadi, hal dalaman UMNO dari segi pandangan kumpulan yang berbeza dalam UMNO itu sebaiknya, kami serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan UMNO untuk uruskan,” katanya. – MalaysiaGazette