Hasbie Muda

SHAH ALAM – Peranan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini adalah untuk melawan naratif yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) kononnya Melayu dan Islam terancam bawah Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, tahu atau tidak pimpinan termasuk penyokong PN bahawa dalam negara ini, ada sembilan sultan, empat Yang Dipertuan Negeri dan seorang Yang di-Pertuan Agong?

Persoalan itu dibangkitkan Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda yang turut mengingatkan PN yang Malaysia dijaga sepenuhnya oleh pimpinan Melayu dan Islam termasuk perdana menteri, dua timbalan perdana menteri dan majoriti menteri.

“Saya nak tanya pimpinan PN, daripada 13 negeri ini berapa ramai yang bukan Melayu dan Islam? Menteri Besar, Ketua Menteri juga majoriti Melayu beragama Islam kecuali satu di Pulau Pinang bukan Melayu, Islam.

“Mereka sengaja menakut-nakutkan pengundi dengan membuat tohmahan dan melaungkan kononnya undi BN dapat DAP,” katanya dalam satu program di sini hari ini.

Menurut Hasbie, jumlah kerusi yang DAP bertanding dan menang dalam PRU14 dahulu dengan PRN Ogos ini tidak pernah bertambah.

Katanya, di Negeri Sembilan, DAP hanya bertanding di 11 daripada 36 kerusi DUN, Selangor pula 16 daripada 56 kerusi dan Pulau Pinang 19 daripada 40 kerusi.

“Mereka boleh main macam-macam isu, boleh bawa sentimen agama termasuk menuduh kita tidak jaga institusi raja tetapi, baru-baru kita dengar bagaimana Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor bukan setakat menghina Sultan Selangor, dia hina semua sultan selain Sultan Kedah.

“Saya harap rakyat di enam negeri buat perbandingan antara tuduhan PN terhadap PH-BN dengan kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette