Amirudin menyantuni seorang penduduk di Pangsapuri Kenanga di DUN Sungai Tua.

GOMBAK – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari yakin kekuatan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu dapat membantu memberi kemenangan kepadanya.

Kata beliau, walaupun selama 15 tahun PH dan BN ‘bermusuh’, tetapi sifat hormat dan adab sentiasa dipelihara dalam bersaing.

“Alhamdulillah, hari ini saya bersama rakan UMNO dan BN di Sungai Tua menyantuni penduduk. Saya yakin kekuatan BN sebagai satu organisasi parti politik yang ampuh dan tersusun merupakan aset penting gabungan perpaduan di Selangor agar kita dapat mencapai kemenangan bergaya pada 12 Ogos ini,” katanya di sini hari ini.

Amirudin (tengah) bersama jentera BN turun berkempen di beberapa pangsapuri dalam DUN Sungai Tua.

Sepanjang hari ini, Amirudin dengan jentera perpaduan menziarahi penduduk di beberapa kediaman di Pangsapuri Kenanga, Pangsapuri Permai dan Kampung Indian Settlement.

Katanya, beliau mahu memberi yang terbaik kepada semua warga dalam DUN Sungai Tua dan rakyat Selangor keseluruhannya.

“Menziarahi beberapa rumah penduduk di sini benar-benar menginsafi saya. Saya sedar akan tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin dan amanah yang dipikul.

“Saya mahu berikan yang terbaik kepada semua mereka,” katanya.

Dalam ziarah itu, Amirudin menekankan kepentingan penduduk memilih pemimpin yang telah terbukti dan teruji.

“Bukan sekadar menjadi pemimpin slogan syok sendiri, kemudian panggil diri dia best tapi kita nak pemimpin yang sentiasa bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“Ada pemimpin, sibuk main politik, sibuk jatuhkan kerajaan sampai dia tak hadir sidang Dewan Undangan Negeri, kemudian dia lari tempat lain dan pura-pura bersihkan diri seperti biawak salin kulit.

“Inilah spesies mereka yang ada dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya. – MalaysiaGazette