KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyeru rakyat di enam negeri yang berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi peluang kemenangan kepada Pas dan rakan Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang merupakan ahli baharu UMNO dan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu Mac lalu memberi alasan, gagal membawa perjuangan dan pemikiran politik seperti diharapkan.
“Hari ini ramai tanya, saya ni ahli UMNO, tapi kenapa ajak orang ramai undi Pas? Apa sudah jadi dengan saya? Saya jawab, mana-mana ahli parti sekalipun Pas, UMNO, PKR atau Perikatan (PN), tidak semua akan undi parti mereka.
“Ramai juga ahli UMNO yang lain pun macam saya juga akan undi Pas ataupun parti Bersatu dan kadang-kadang kita masuk ahli parti itu kerana kita mengharapkan parti itu memperjuangkan perkara yang kita mahu.
“Macam UMNO, saya ingat parti ini akan bertukar lebih demokratik, progresif, lebih terbuka, menentang kekufuran, tapi bila tak berlaku, saya kata kita cubalah parti lain pula,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, Zaid menerusi rakaman videonya mengajak masyarakat selain Melayu dan Islam mengundi Pas serta tidak takut kepada parti itu kerana mereka juga boleh membangunkan ekonomi negara jika diberi peluang.
Menurut beliau, sekiranya sesebuah parti yang disertainya itu gagal dan perjuangannya akan menjejaskan negara, negeri dan bangsa, tidak salah untuk ahlinya tukar pendirian.
“Kita cubalah Pas-PN pula. Kalau kita tak cuba kita tak tahu. Jangan asyik beri contoh Kelantan bawah pentadbira Pas mundur. Negeri itu mundur kerana kamu (pusat) tidak mahu tolong.
“Orang Kelantan tak mundur, ada perkara yang Pas boleh buat dengan lebih baik, tetapi bila usaha itu disekat, nampaklah kelemahannya. Tapi, tidak pula bererti Pas tak boleh membangunkan ekonomi negara kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette