Saifuddin berkempen di Ceramah Kelompok Pakatan Harapan di Taman Delima, Sungai Petani malam ini.

SUNGAI PETANI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang mengenali ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid yang dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian di Kedah.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, Anwar yang juga presiden parti itu hanya menemani jutawan minyak petroleum itu membuat kunjungan hormat dan menghadap Sultan Kedah sebelum ini.

Beliau menjelaskan, selepas pertemuan itu, kedua-dua pulang dan Riza tidak berjumpa sesiapa untuk membuat permohonan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

“Sebenarnya beliau (Riza) datang ke Kedah untuk menemani Datuk Seri Anwar buat kunjung hormat ke atas Tuanku Sultan Kedah. Itu sahaja, lepas itu beliau balik.

“Saya sendiri tanya Datuk Seri Anwar tadi sebelum datang ceramah ini, sebab saya kena jawab isu itu.

“Ya, Datuk Seri (Anwar) datang bersama Riza ke Anak Bukit, lepas itu balik. Perjumpaan berlaku di istana dan Sanusi (Menteri Besar) pun tidak ada ketika itu. Jauh lagi untuk permohonan semua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen di Ceramah Kelompok Pakatan Harapan di Taman Delima di sini malam ini.

Petang tadi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui tidak pernah bertemu dengan Riza yang dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian di negeri itu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun mengakui pernah dihubungi oleh pihak Riza sebelum ini.

Semalam, beliau mendedahkan Riza pernah datang ke Kedah ditemani Anwar untuk memohon kawasan lombong REE.

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa, Muhammad Sanusi kini cuba mengalih isu membawa seorang warga China, So Loi Fai daripada dua individu yang dikatakan terlibat dalam kecurian REE.

Namun kata beliau, percubaan Muhammad Sanusi gagal dan tidak meninggalkan kesan.

“Itu percubaan untuk mengalih tetapi gagallah. Lagi pun Riza ahli perniagaan yang mahsyur di Indonesia. Tiada kaitan dengan REE dan Sanusi kena bukti bila sebut.

“Macam saya, Sanusi kamu memang bantu dari segi dokumen Imigresen dan saya tunjuk surat. Ada nama So Lai Fat, nombor satu dan Huang Zhiyi nombor enam, saya tunjuk. Saya tunjuk bukti dia kata tak kenal, saya tunjuk gambar.

“Itu maksudnya bila kita buat kenyataan perlu ada back up. Dia (Sanusi) keluar kenyataan tidak ada bukti, jadi saya fikir itu tindakan terdesak dia untuk pegang akar umbi Pas jangan lari sebab itu dia rasa sedang berlaku syif peralihan sedang berlaku dalam kalangan ahli kerana banyak fakta kita bagi.

“Saya nampak dia sangat terdesak untuk pegang base sokongan Pas kerana pertarungan sekarang pertarungan atas pagar yang suka fakta tapi dia perlu cipta isu.

“Mula-mula dia hendak alih dengan isu SADA (Syarikat Air Darul Aman) terus saya tak layan dan keluar dengan bukti-bukti baharu. Saya akan tunjuk lagi dalam sidang media di Jitra esok.

“Percubaan dia untuk alih isu usaha yang baik tetapi meleset dan tidak menangkap sama sekali. Apakah benar watak itu berada di Kedah, jawapannya ya.

“Tujuannya mengadap ke bawah Duli Tuanku. Mai permohonan apa pula, itu saya cakap dia merapu,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

REE: Sanusi dakwa ada satu lagi pendedahan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast