Amirudin Shari

GOMBAK – Penduduk Gombak di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu bakal menerima satu lagi mercu tanda, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, mercu tanda itu ialah pembinaan sebuah Kompleks Islam Gombak Permai di Kampung Wira Damai, dekat sini, bagi membantu melegakan penduduk beribadah.

Katanya, kompleks itu menempatkan masjid, sekolah rendah agama, pusat komuniti dan kuarters pegawai serta kakitangan yang akan dibina segera.

“Alhamdulillah, semoga ikhtiar ini terus menyuburkan syiar Islam di bumi Selangor dan kita harap pembinaannya akan dimulakan segera bagi membantu melegakan penduduk di sini agar lebih selesa beribadah.

“Pembinaan projek bernilai kira-kira RM25 juta ini mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk siap.

“Ini buktinya keprihatinan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan pengurusan yang baik dan hasil yang baik, kita kembalikan kepada rakyat,” katanya, di sini, hari ini.

Kompleks Islam Gombak Permai bercirikan seni bina kemelayuan ini mampu menampung sehingga 3,000 jemaah.

Ruang solat dibina dengan kapasiti sehingga 500 jemaah dan jika ditambah ruang solat di luar (beranda), keseluruhan boleh memuatkan sehingga 2,500 jemaah.

Manakala, sekolah rendah agama akan dibina dengan kapasiti 1,000 pelajar.

Selain itu, Amirudin yang juga calon DUN Sungai Tua turut menyantuni mangsa banjir Batu Caves dan penduduk Kampung Indian Settlement. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast