KUALA LUMPUR – Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Islam Mulia, di Kajang, Selangor menerima sumbangan sebanyak RM30,000 untuk keperluan mereka oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan satu lagi inisiatif penting dalam usaha memastikan nasib golongan memerlukan terutama asnaf dan anak yatim, mendapat perhatian serta bantuan yang terbaik.
“Rumah anak yatim ini adalah di bawah naungan inisiatif Prihatin Madani, merupakan bahagian dari visi membangun Malaysia Madani yang memberi fokus untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam dan rakyat Malaysia.
“Rumah anak yatim ini juga menjadi sebahagian dari inisiatif Al-Falah, yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan insan,
“Sehubungan itu, usaha membantu dan meringankan beban golongan asnaf dan anak yatim akan dilaksanakan secara berterusan melalui sesi lawatan, santuni, serta mendengar masalah dan keluhan golongan ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga memaklumkan sehingga Ogos ini menerusi Yayasan Taqwa, sumbangan sebanyak RM540,836 telah berjaya dikumpulkan dengan 3,496 orang anak yatim telah menerima bantuan dalam tempoh yang sama.
Dalam pada itu, Na’im turut mengucapkan terima kasih dan berikan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO), aktivis serta masyarakat yang banyak membantu golongan memerlukan itu secara berterusan.
“Sokongan dan bantuan sebegini memainkan peranan penting sebagai bantuan yang bermakna bagi mereka yang tiada tempat bergantung dan berada dalam kesempitan hidup,” ujarnya. – MalaysiaGazette