Aziz M Osman dan Puteri Lily mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010

KUALA LUMPUR – Pengarah terkenal Aziz M. Osman, 60, sah bercerai dengan isterinya, Puteri Lily Lokman, 34, awal bulan lalu.

Pendedahan mengejutkan berkenaan dimaklumkan oleh bekas isteri pengarah yang juga pelakon itu menerusi status Instagramnya hari ini.

Tindakan tersebut diambil bagi mengelak sebarang fitnah yang timbul antara dirinya dan bekas suami.

“Assalamualaikum kepada ahli keluarga dan kawan rapat, ramai yang bertanya tentang status hubungan saya dengan Aziz. Saya dengan rendah diri ingin menyampaikan berita. Secara rasminya, saya dan Aziz sudah berpisah dengan cara baik bulan lalu,” tulisnya dalam InstaStory.

Sementara itu, Puteri turut menegaskan bahawa punca perceraian mereka bukan disebabkan orang ketiga.

Malah perceraian mereka tidak menjejaskan hubungan bersama anak-anak iaitu Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan yang berusia lima tahun.

“Jodoh kami ditakdirkan sampai di sini, tetapi kami masih mempunyai hubungan baik demi anak-anak, insya-Allah. Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ini dengan tenang.

“Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka. Doakan urusan kami dipermudahkan,” jelasnya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak.

Perkahwinan pengarah filem Leftenan Adnan itu merupakan kali ketiga buat Aziz yang sebelum itu pernah bergelar suami kepada pelakon, Nor Aliah Lee dan memiliki enam anak.

Selepas berpisah dengan Nor Aliah Lee, Aziz berkahwin dengan Nor Radhiah pada 4 April 2008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast