KOTA BHARU – Rakyat Kelantan bakal menikmati potongan 70 peratus premium tanah jika mereka memberi mandat kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah sampai masanya penderitaan rakyat dalam menanggung kos yang begitu tinggi berkaitan urusan tanah ditamatkan.
Katanya, PH-BN bersikap terbuka menawarkan kemudahan itu, selain banyak lagi tawaran disediakan bagi membantu rakyat Kelantan menikmati hidup dengan selesa dan tidak terbeban kos yang tinggi.
“Saya beritahu calon yang mewakili BN-PH, cukai ini bukan sahaja turun sebanyak 50 peratus, tetapi turun kepada 70 peratus.
“Kalau sekarang kos bina rumah baru di Kelantan dikenakan bayaran RM9,000 bagi satu lot. Insya-Allah potongan premium baharu diberikan jika PH-BN membentuk kerajaan pada malam 12 Ogos ini.
“Selain itu, turut diturunkan juga ialah cukai pintu dan cukai tanah sebanyak 70 peratus,” katanya dalam Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Jalan Kebun Sultan, di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, potongan itu akan memberi faedah kepada rakyat Kelantan untuk membuat rumah dan memiliki tanah.
Katanya, antara iltizam kerajaan PH-BN di Kelantan ialah membawa masuk sebanyak mungkin pelaburan ke negeri itu sebagai sumber pendapatan untuk membantu rakyat.
“Kelantan bawah pimpinan Pas miskin kerana pemimpinnya tidak inovasi, tiada usaha untuk mencari sumber pendapatan negeri, melainkan mengharap kutipan cukai dari rakyat yang sedia miskin,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















