Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy didakwa sengaja mahu memecahbelahkan perpaduan akar umbi serta penyokong DAP.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong  kesal dengan tindakan Ramasamy keluar parti beberapa hari menjelang pilihan raya yang dianggap amat penting untuk masa depan negeri dan negara.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Ramasamy kerana mengeluarkan kata-kata kasar serta tuduhan liar terhadap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan parti.

Menurutnya, Ramasamy sebenarnya telah ditolak oleh akar umbil selepas kalah dalam pertandingan untuk Jawatankuasa Tertinggi Parti DAP pada 2012, 2013, 2017 dan 2022.

“Pimpinan DAP masih berharap Ramasamy mampu membawa perubahan positif. Sayangnya, ia hanya harapan palsu.

“Tidak salah jika dikatakan mendiang Karpal banyak berjasa dalam membantu karier politik Ramasamy bermula pada 2008 dengan memberinya peluang bertanding kerusi DUN dan Parlimen.

“Namun apabila dia tidak mendapat apa yang dia mahukan, pada 2011, dia memaki hamun Karpal. Kata-kata kesatnya diketahui umum dan ini amat jarang berlaku dalam DAP,” katanya dalam kenyataan.

Chin Tong juga mendedahkan pada pilihan raya 2008, Karpal mahu Ramasamy turut diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai sebagai jaminan untuk menang kerana bimbang beliau tewas di kerusi Parlimen Batu Kawan.

Layanan istimewa yang diberikan kepada Ramasamy menyebabkan beberapa bakal calon serta penyokong di Perai marah terhadap parti.

“Selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008 memberi kemenangan kepada DAP di Pulau Pinang, Ketua Menteri yang baharu, Lim Guan Eng mengubah peraturan lama dengan melantik  Ramasamy menjadi Timbalan Ketua Menteri Kedua.

“Kedudukan tinggi diberikan kepadanya dengan hasrat agar beliau dapat membantu DAP untuk menjadikan parti lebih inklusif.

“Walaupun DAP sejak asalnya memang parti pelbagai kaum, usaha perlu dipertingkatlan lagi. Namun, Ramasamy gagal berbuat demikian,” kata Chin Tong.

Ramasamy mengumumkan keluar daripada DAP semalam selepas tidak berpuashati dengan beberapa perkara.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perai selama tiga penggal itu hari ini sekali lagi dilihat membuat serangan ke atas Anthony dengan menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu bukan pemimpin yang berkebolehan.- MalaysiaGazette