SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan harus berlapang dada dengan memberikan kerusi Menteri Besar yang disandang PH sebelum ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Faizal Azumu berkata, ia selepas UMNO mendapat kerusi terbanyak di negeri tersebut dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Menurutnya, dengan keputusan itu, sewajarnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu dilantik sebagai Menteri Besar.
“Itulah semangat perpaduan yang telah dicanangkan (walaupun) UMNO tewas teruk di kesemua lima negeri yang lain.
“Ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa (dan) jangan pula ahli UMNO dan para penyokongnya dikecewakan, sekali lagi (apabila) Undi UMNO dapat PKR dan DAP,” katanya.
Artikel berkaitan: Jalaluddin lebih layak calon MB Negeri Sembilan – KJ
Beliau berkata demikian dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya pagi ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Jalaluddin dan semoga beliau terpilih sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.
Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan BN menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi namun gagal mempertahankan 36-0 bersama gabungan Pakatan Harapan apabila lima kerusi DUN dirampas Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette