UMNO pernah digelar parti keramat orang Melayu. Parti ini menjadi tempat orang Melayu dan bumiputera yang lain meletakkan segala harapan.
Parti itu mencatatkan kekalahan teruk pada pilihan raya di enam negeri yang berlangsung Sabtu lalu. Daripada 108 calon yang diletakkan hanya 19 yang menang.
Nasib buruk UMNO seolah-olah berterusan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November lalu. Daripada 179 kerusi yang ditandingi di bawah logo Barisan Nasional (BN) parti itu hanya menang 30 kerusi.
Hanya empat tahun lalu iaitu setahun selepas PRU-14 BN kelihatan bangkit semula apabila menang lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan empat PRN.
Sepanjang penggal Parlimen ke-14 sebanyak 12 PRK diadakan dengan empat pada 2018, lima pada 2019 dan tiga pada 2020.
BN pada mulanya tewas dalam empat PRN yang berlangsung pada 2018 iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson. Semua kerusi dimenangi oleh calon parti lawan.
Bagaimanapun selepas itu BN mencatatkan kemenangan berturut-turut iaitu di Parlimen Cameron Highands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis, DUN Chini, DUN Slim pada 2019 dan 2020.
BN melalui rakan sekutu Gabungan Rakyat Sabah berjaya menguasai semula Sabah pada PRN yang berlangung pada 26 September 2020.
Parti itu juga berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka dan Johor dalam PRN masing-masing pada 20 November 2021 dan 12 Mac 2022.
Kemudian melalui rakan sekutu Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekalkan kuasa di Sarawak pada 18 Disember 2021.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai menyebabkan BN dan UMNO seolah-olah mempercayai rakyat sudah mula menerima parti itu.
Ini lebih-lebih lagi dalam dua PRN iaitu Melaka dan Johor menyaksikan BN menang walaupun tanpa bekerjasama dengan Bersatu dan Pas yang sama-sama membentuk Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan pada Mac 2020.
Ramai yang beranggapan kemenangan UMNO disebabkan oleh aura Bossku Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya mendapat semula kepercayaan rakyat.
Bagaimanapun panas tidak sampai ke petang Najib dihukum dan dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2023. Namun akar umbi masih setia dengan UMNO.
Menjelang PRU-15 UMNO memutuskan untuk bertanding secara ‘solo’ iaitu tidak bekerjasama dengan Pas atau Bersatu yang sekali gus bermaksud terkuburnya Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas.
Ketika Muafakat Nasional memeterai paigam pada 14 September 2019 ahli akar umbi UMNO menyambutnya dengan tangan terbuka dan gembira kerana akhirnya dua parti berteraskan Melayu dan Islam merobohkan tembok permusuhan.
Ramai akar umbi UMNO sebenarnya kecewa apabila kepimpinan parti mengambil keputusan meninggalkan Muafakat Nasional dan bergerak secara solo dalam PRU15. Bagaimanapun suara mereka tidak didengari.
Ini kerana yang membuat keputusan adalah pemimpin yang mempunyai jawatan di peringkat tertinggi. Akar umbi akhirnya senyap.
UMNO dan BN tewas teruk pada PRU15, lebih teruk berbanding PRU14. Banyak kubu mereka ditawan. Akar umbi berharap kekalahan yang dialami boleh menyedarkan kepimpinan mereka tentang tindakan-tindakan yang salah.
Selepas PRU-15 sekali lagi suara mereka seolah-olah tidak diendahkan. Tindakan kepimpinan yang gagal memegang prinsip ‘no itu dan ini’ yang dilaung-laungkan dalam Perhimpunan Agung UMNO membuatkan ramai ahli kecewa. Dalam hidup perlu ada prinsip.
Pemimpin mungkin ada strategi tentang perkongsian kuasa dan erti kelangsungan parti namun akar umbi tidak. Pemimpin politik mungkin faham tentang titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi akar umbi tidak.
“Mengapa ahli politik kelihatan tidak jujur, adakah tuduhan-tuduhan yang dilemparkan palsu?”. “Mengapa tiba-tiba mereka berkawan dan ketawa bersama?”.
Jika ahli politik terus melanggar prinsip dan kejujuran, kepercayaan akar umbi mulai pudar.
Untuk bersuara mencurahkan kekecewaan dalam perhimpunan agung parti adalah mustahil. Hanya pemimpin terpilih boleh berada dan berucap dalam Dewan Merdeka. Bersuara dalam media sosial, tidak mungkin akan didengari.
Satu-satunya cara dan kuasa yang ada pada akar umbi hanyalah ketika pilihan raya. Yang mereka mahu hanyalah politik yang jujur dan pemimpin yang mempunyai prinsip. Mereka menegur kerana sayang.
Adalah satu kesilapan jika selamanya pemimpin merasakan parti dan diri mereka akan terus disokong dan kata-kata mereka terus dipercayai. Ini kerana dalam sistem demokrasi akar umbi sentiasa mempunyai pilihan.
Pemimpin harus faham dan mengerti, akar umbi tidak lagi melihat parti itu satu-satunya teras kepada orang Melayu. Suka atau tidak mereka perlu sedar ada parti lain pada bila-bila masa boleh menjadi teras penganti.
UMNO dan parti yang bersekutu dengannya hanya mempunyai masa empat tahun empat bulan untuk memperbetulkan segala salah faham sebelum akar umbi membuat satu lagi keputusan pada PRU-16. Masa untuk UMNO semakin suntuk.-MalaysiaGazette
sebab dasar parti yang mementingkan pemimpin bukan pentingkan rakyat .mkt sebagai pemerintah yang buat. keputusan bukan rakyat yang buat keputusan . oleh itu selamat tinggal lah UMNO ..pergilah cari duit banyak2 lagi untok jual negara