Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU — Rangka kerja membabitkan inisiatif hijau Johor Green Deal pada persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 akan dilancarkan pada November ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rangka itu selari dengan pelan kelestarian Johor yang lebih hijau pada masa depan.

Katanya, kerajaan negeri kini bekerjasama dengan Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, Datuk Hasni Mohammad bagi membangunkan Pusat Kelestarian Johor.

Johor Green Deal akan menjadi rangka kerja (kerajaan negeri) untuk masa depan (Johor) yang lebih baik. Ia akan menjadi satu pelan untuk kita laksanakan seperti mana pelan membersihkan Sungai Skudai.

“Saya fikir untuk inisiatif perubahan iklim, mesti ada perancangan yang jelas dari segi usaha untuk kita laksanakan pada tahun-tahun mendatang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Onn Hafiz berkata, penganjuran APCW 2023 di negeri ini akan menyediakan peluang kepada Johor menimba ilmu dan pengalaman daripada negara lain yang lebih berpengalaman dalam isu perubahan iklim.

“Ini supaya kita mendapat teknologi dan maklumat terkini serta kita boleh berkolaborasi untuk menangani isu-isu seperti banjir dan sebagainya.

“Kita tahu di peringkat Kerajaan Persekutuan banyak projek tebatan banjir telah diluluskan bagi mengurangkan impak daripada banjir, tetapi adakah itu mencukupi? Jadi, APCW menjadi satu peluang untuk kita (meraih ilmu) membuat penambahbaikan,” katanya. – MalaysiaGazette