Isham Jalil

KUALA LUMPUR – UMNO tidak perlu melakukan pemutihan ke atas ahlinya disebabkan ada antara mereka disyaki mengundi calon parti lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, jika dilakukan pemutihan, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong parti di akar umbi.

“Pada saya tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli UMNO, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain.

“Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi.

“Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Isham, apa yang perlu dilakukan ialah cari dan akui sebab serta punca mengapa penyokong tegar parti yang selama ini menyokong UMNO kini protes serta menyokong parti lawan.

Katanya, punca dan sebab itu perlu ditangani segera

“Jika dulu penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini mereka pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai,” katanya.

Justeru ujar beliau, daripada memutihkan atau buang, lebih baik mereka diyakinkan semula berkenaan halatuju dan perjuangan UMNO.

“Saya lihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik. Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah.

“Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah.

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU-16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, untuk bangun semula, UMNO perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri serta merubah keadaan, selain perlu ada keberanian untuk membawa perubahan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isham Jahil ni baru keluar Gua ke? akarumbi UMNO dah berpakat untuk kuburkan ZAHID HAMIDI and the PENGAMPU.. sebelum PRN kenapa BENAK sangat hingga BODOH berfikir nyata. Jika takut buang Ahli akarumbi 3juta lebih JANGAN TAKUT BUANG Si KITOL yang berapa kerat sangat tu…. bangang bangang sangat.. lain kali percaya akarumbi bukan menonong bengap…

Comments are closed.