Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bekerjasama dengan Pertubuhan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) untuk pembiakan sehingga 400 ekor Harimau Malaya di negara ini yang kini diancam kepupusan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, angka itu dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun lagi bagi menambah populasi harimau belang yang kini kurang dari 150 ekor sekali gus mengatasi masalah kepupusan haiwan itu.

Abdul Kadir Abu Hashim

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana Harimau Malaya merupakan satu khazanah besar kepada negara dan kita tidak boleh bergantung kepada kaedah pembiakan fizikal atau langkah penguatkuasaan menangkap pemburu haram.

“Sebab itu hari ini kita ambil langkah pertama bekerjasama dengan ZPOT melalui teknologi pembiakan terbantu (ART) supaya
spesies terancam ini boleh dikekalkan kelestariannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wildlife Assisted Reproductive Technology Seminar & Workshop 2023 selama tiga hari di A’ Famosa Resort di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah ZPOT, Attapon Srihayrun dan Pengarah Urusan A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau Chir Nguan.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, teknologi ART membolehkan kepelbagaian genetik sesuatu spesies dikembangkan supaya sumber genetiknya dapat digunakan bagi pembiakan haiwan terancam pada masa akan datang.

“Di Thailand, ART terbukti terhadap haiwan di sana dan kita yakin teknologi sama boleh digunakan terhadap populasi Harimau Malaya yang mana kita jangkakan ia mampu mencapai sehingga 400 ekor dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Sebab itu seminar hari ini mengumpulkan semua pakar-pakar dalam bidang zoologi untuk kita saling bertukar idea dan maklumat untuk mempercepatkan lagi proses haiwan ini bunting dan pembiakan di pusat konservasi,” katanya. – MalaysiaGazette