KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyelar tindakan sesetengah pemimpin parti itu yang menyerang presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Beliau berkata, ia bukan cara terhormat tetapi membuka pekung orang lain dan diri sendiri sahaja.

“Seperti yang saya jangkakan, selesai saja Pilihan Raya Negeri (PRN) dan apabila keputusan menunjukkan UMNO-BN mengalami nasib tidak baik, terus ada pihak yang tuding jari salahkan Presiden UMNO.

“Gayanya macam puak Syiah kat Iran sambut Hari Asyura sahaja, habis semua orang sama ada salah atau tak duduk libas diri sendiri mengingati peristiwa pembunuhan pemimpin mereka yang jadi mangsa fitnah serta adu domba sesama Islam.

“Mereka terus mendesak Ahmad Zahid lepaskan jawatan dan perlu dipertanggungjawabkan atas prestasi buruk UMNO-BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Nur Jazlan berkata, sikap menuding jari itu seharusnya bukan untuk Ahmad Zahid seorang tetapi kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri lain juga kerana mengalami kekalahan teruk.

“Macam (Datuk Seri) Idris Jusoh yang masih ada rasa kecewa sebab tempat beliau sebagai Pengerusi Felda (dilantik oleh Muhyiddin ketika jadi PM8) diganti oleh (Datuk Seri) Ahmad Shabery Chek tahun ini.

“Kenapa dia hanya namakan Ahmad Zahid seorang sahaja yang perlu letak jawatan? Kenapa tak petik nama Pengerusi UMNO Terengganu, Ahmad Said, Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan, Pengerusi UMNO Kedah, Mahdzir Khalid, Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadhir, Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain.

“Sebab kalau nak diikutkan di lima negeri itu, prestasi UMNO buruk kecuali Negeri Sembilan.

“Kenapa puak pendesak dalam UMNO tak salahkan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat dan bahagian sekali dalam kekalahan ini?

“Sepatutnya semua pihak perlu ambil tanggungjawab sebagai sebuah kesatuan dalam UMNO. Sebabnya kalau Presiden UMNO gagal maknanya keseluruhan kepimpinan parti juga gagal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mempertikai tindakan beberapa pihak yang menggunakan media sebagai tempat untuk meluahkan pendapat.

“Adalah lebih afdal untuk bangkitkan semua masalah itu dalam mesyuarat pimpinan parti sebab masing-masing sudah ada jawatan yang membolehkan mereka meluahkan segalanya ikut saluran betul.

“Bukannya sembang kari kepada media sebab nak tunjukkan diri tu hebat sangat dan terpaling bijak,” katanya lagi.

Nur Jazlan juga mengakui pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) berhenti dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor tahun 2008.

“Saya cakap dengan hujah orang muda menolak Pak Lah sebagai perdana Menteri dan peremajaan dalam parti perlu dilaksanakan segera.

“Tapi saya cakap dalam mesyuarat dan diam bila di luar. Datuk Puad Zarkashi jadi saksi hal ini,” katanya lagi.

Jelasnya, semua pihak perlu berusaha untuk menjenamakan semula UMNO dengan cara lebih praktikal, realistik dan inklusif untuk semua.

Terdahulu, ramai kepimpinan parti UMNO membuat pelbagai kenyataan dan menyalahkan Ahmad Zahid serta segera meminta pengunduran secara terhormat.

Tidak kurang ada pemimpin sayap yang melihat kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan adalah silap paling besar kerana memperlihatkan undian ahli parti berpaling kepada yang lain.

Untuk rekod, PRN ini merupakan kekalahan terbesar UMNO apabila menang 19 kerusi daripada 108 yang dipertandingkan.

UMNO hanya menang dua kerusi di Selangor, dan Pulau Pinang, satu kerusi di Kelantan dan 14 kerusi di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Hoi Nur Jazlan… ZAHID HAMIDI tu dah dinasihatkan dalam Mesyuarat, dalam telephone dan antara EMPAT BIJI MATA. masalahnya ZAHID HAMIDI ROSAK MATA, ROSAK TELINGA dan ROSAK HATI. Kenapa kau terlalu BENAK? Nur Jazlan dan Puad Zarkasi adalah DUA SAMDOL… tunggu sekor lagi untuk jadi TIGA SAMDOL di Negeri Johor. BENAK BODOH BANGANG tu percuma tapi simpan-simpan lah jangan hingga diketahui akarumbi UMNO. Kepala hotak yang busuk lebih baik cepat dikerat… jika di tunggu maka SEMUA DAGING termasuk TULANG menjadi bangkai… sembang la pasal stokin sekolah pasal cuaca hujan dan budak-budak sekolah suka bergaduh… ini dak.. sembang syok sendiri menemberang je hobinya…

Comments are closed.