KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain secara rasmi mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini. 

Beliau menggantikan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis pada 23 Jun  lalu.

Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Bukit Aman di sini dengan dimulakan dengan pemakaian lencana oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada Mohd Suhaily.

Turut berlangsung upacara serah terima tugas jawatan daripada Ayob Khan.

Ketua Polis Negara berharap Mohd Suhaily akan memimpin pasukan JSJ ke arah kecemerlangan dan meningkatkan momentum yang sedia ada.

“Saya sangat berharap dan yakin beliau akan memberi komitmen dan momentum yang sama atau lebih untuk kebaikan JSJ khususnya dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) amnya dengan bantuan dan sokongan timbalan pengarah pasti Insya-Allah Datuk Seri Suhaily dapat melaksanakan tugas dengan baik,”  katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Razarudin berkata, Pengarah JSJ baharu itu berdepan dengan cabaran jenayah komersil yang kini seiring dengan teknologi canggih.

Sehubungan itu, pelbagai usaha yang gigih perlu untuk menanganinya.

“Kalau kita lihat jenayah akan datang,  jenayah baru lebih kepada komersil iaitu scammer  tapi ada juga jenayah menggunakan AI (teknologi kecerdasan buatan). Itulah cabaran-cabaran yang perlu ditanganinya termasuk perkhidmatan dalam PRDM yang bertunjangkan tata kelola yang baik dan berintergriti,” ujarnya.

Mohd Shuhaily sebelum ini  bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur sejak 15 Mei lalu.

Pertukaran Mohd Shuhaily menjadikan beliau boleh dianggap sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang paling singkat iaitu dalam tempoh kurang empat bulan.

Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur bakal diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Allaudeen Abdul Majid dengan memangku pangkat Komisioner Polis.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.