ALOR GAJAH – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melambung dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Yusup Kasim, 66, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya ketika kejadian, pesara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) itu yang menunggang motosikal jenis Honda Dash sedang menuju ke Gangsa dari arah pekan Durian Tunggal.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
“Akibatnya, mangsa telah bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang berada di belakang Alza berkenaan, menyebabkannya tercampak masuk semula ke laluannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kemalangan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Lokasi nahas adalah laluan berselekoh, curam dan basah kerana cuaca hujan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette