Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor kepada Datuk Seri Amirudin Shari pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah hari ini. foto BERNAMA

KLANG – Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu melihat Selangor kembali menjadi sebuah negeri maju dalam segenap aspek sama ada ekonomi, perpaduan mahupun pembangunan sebelum akhir hayatnya.

Ini antara cabaran yang perlu dihadapi Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengembalikan zaman kegemilangan negeri itu beberapa penggal sebelum ini.

“Usia Beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini dan menjadi harapan dan impian Beta, agar sebelum Beta menutup mata dan dijemput Illahi, Beta dapat melihat Selangor bangkit semula dan maju ke hadapan dari segenap sudut.

“Baik dari segi pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi mampan, perpaduan rakyat berbilang bangsa, rakyatnya hidup selesa serta kemakmuran berpanjangan,” titah Baginda di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu Baginda berkenan mencemar duli ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir sama berangkat mencemar duli, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mahu pentadbiran Amirudin memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda Selangor hingga menjejaskan kehidupan rakyatnya.

“Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan,” titah Tuanku.

Baginda juga mengingatkan Amirudin dan barisan Exconya di mana Selangor mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan berbanding Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sejak kebelakangan ini.

“Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya.

“Ahli-ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia.

“Beta menaruh harapan tinggi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bagi memberi perkhidmatan cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan,” titah Baginda.

Titah baginda lagi, ahli Dewan Negeri Selangor perlu berhenti berpolitik sepanjang masa dan kembali memberi tumpuan kepada memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar.

“Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita,” titah Baginda lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rakyat bersama2 Sultan mahu Selangor bangkit semula! Rupanya dalam diam tak diam dah puluhan tahun dibawah pemerintahan Pakatan Hancing tapi Selangor tak juga bangkit2 lagi?

    Bagi merealisasikan hasrat baginda, jom ramai2 rakyat Selangor beri sokongan padu kepada PN dalam PRU akan datang. Jom sokong PN Best Bersih!

Comments are closed.