SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu kesukaran silibus yang disuarakan oleh ibu bapa sejak kebelakangan ini.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek pihaknya akan mengadakan sesi libat urus untuk mengambil dan mempertimbangkan pendapatan daripada pelbagai pihak demi memastikan masalah tersebut dapat ditangani.

Jelas beliau, libat urus berkenaan sebagai persediaan untuk kitaran silibus baru yang sepatutnya dilaksanakan pada 2027.

“Kita akan ada sesi libat urus untuk kurikulum yang akan melibatkan semua pihak jadi mana-mana isu yang disentuh itu akan di panjangkan dan dikupas dalam sesi itu.

“Jangan terlalu risau, kita sedang lihat isu silibus ini dengan lebih serius kita bagi jaminan sesi libat urus tentang kurikulum akan libatkan semua,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, hanya lima peratus sahaja silibus pelajaran yang dilihat sukar dan dikhaskan untuk pelajar yang mempunyai aras pemahaman lebih tinggi.

“Soalan-soalan yang sukar  hanya lima peratus. Sebab itu penting juga kita fahamkan ibu bapa soalan-soalan itu mengikut aras kefahaman.

“Kita kena adil ada anak-anak yang mempunyai kefahaman sedikit tinggi berbanding rakan-rakan lain. Yang lain soalan berkisar yang mereka boleh kuasai,” katanya. -MalaysiaGazette